Baca Novel Awak Ilham Saya 5

Baca Novel Awak Ilham Saya 5

Baca Novel Awak Ilham Saya 5

Novel Awak Ilham Saya 5

Oleh : Tini Hardanisyah

Kopi Awak Sedap…

Aku mengerling jam di skrin komputer aku. Baru jam sepuluh pagi. Masa yang sangat sesuai untuk minum kopi. Aku melangkah keluar dari bilik aku untuk ke pantri.

“Kawan-kawan… Siapa nak minum kopi?” Aku sempat bertanya sambil memandang rakan-rakan sekerja aku silih berganti. Inilah rutinku. Tidaklah setiap hari tetapi dalam seminggu lebih kurang dua tiga kali aku akan membancuh kopi untuk semua orang. Mereka sering memuji kopi aku dan disebabkan itulah aku sering bersemangat apabila menyentuh bab bancuh kopi. Bukan suka dipuji cuma senang hati melihat orang minum kopi bancuhan aku sambil tersenyum.

“Kau nak pergi buat kopi kau yang kaw tu ke? Aku nak.” Haris cepat sahaja membalas. Dia memang pencinta setia kopi aku.

“Aku pun nak.” Giliran Erina pula. Dan beberapa lagi rakan sekerjaku yang lain turut sama meminta.
“Okeylah, konklusinya semua orang nak, kan? Saya pergi buat sekarang. Lima minit, ya?” Aku sempat mengangkat tangan kanan aku dan membuat isyarat lima menggunakan jari sebelum berlalu pergi ke pantri.

“Saya pun nak boleh?” Sempat pula aku mendengar suara Taufik. Bila pula dia keluar dari bilik dia? Aku memandang Taufik sambil tersenyum. Lebih kepada senyum paksa sebenarnya.

“Boleh, bos.” Aku menjawab pendek dan terus berlalu. Dalam hati membebel. Macam mana dia boleh muncul tiba-tiba? Macam tahu-tahu saja aku akan keluar.

Sampai di pantri, aku terus mengambil enam buah cawan untuk membancuh kopi tetapi apabila difikir balik, seperti melambatkan kerja pula. Akhirnya aku mencapai jag yang agak besar saiznya di tepi singki. Lebih baik bancuh di dalam jag. Besar pun besarlah janji lebih efektif.

Selesai membancuh kopi, aku terus mengangkat semua cawan dan meletakkannya di atas meja setiap orang kecuali Taufik. Aku tinggalkan cawan untuknya di atas meja Erina. Kemudian aku masuk semula ke dalam pantri untuk mengambil jag air kopi. Kelihatan kelakar pula macam lipas kudung ke hulu ke hilir mengagihkan cawan dan kemudian membawa jag ‘gergasi’ itu keluar. Aku mencurahkan air ke dalam setiap cawan.

“Amaani, kau ni memang terbaiklah. Kalau aku ada adik lelaki, memang aku dah suruh pinang buat isteri.” Haris seperti biasa dengan lawaknya yang buat aku rasa seperti hendak simbah sahaja air kopi dekat dia. Aku memang sukar diramal dan garang tidak bertempat. Nasib baik juga dia sudah berkahwin, kalau tidak mesti dia cakap hendak buat jadi isteri dia.

“Erina, kau pergi tuang kopi ni dekat bos.” Aku menghulurkan jag besar itu kepada Erina.

“Kaulah pergi tuang. Aku nak buat kerja ni.” Erina berdalih. Macam dia seorang sahaja ada kerja. Aku mengeluh perlahan sambil mengangkut cawan dan juga jag ‘gergasi’ menuju ke bilik Taufik. Tangan aku penuh jadi aku akhirnya menggunakan cawan untuk mengetuk pintu. Kedengaran suara Taufik menyuruh masuk. Macam mana aku hendak buka pintu sedangkan tanganku penuh? Akhirnya aku mengintai Taufik di sebalik cermin kaca sambil mengangkat tinggi jag ‘gergasi’ dan cawan. Taufik senyum ke arahku dan bangun dari kerusinya untuk membuka pintu.

“Maaf, Batrisya. Masuklah.” Dia mempelawa penuh sopan. Ala-ala lelaki Melayu terakhir pula. Dengan malas aku berjalan masuk. Aku meletakkan cawan dan menuangkan air kopi untuknya. Aku terdengar suara orang ketawa. Aku menoleh ke arah Taufik. Dia sedang menutup mulutnya sambil berusaha menahan tawa.

Ketawa tak tentu pasal macam orang tak betul ni kenapa? Aku berbisik dalam hati.

“Kenapa bos gelak?” Aku bertanya kehairanan. Sudah serupa orang tak betul dia gelak.

“Awak ni kadang-kadang comel. Saya rasa jag ni lagi besar daripada awak.” Taufik masih dengan ketawanya. Tiba-tiba pula puji aku comel. Aku tersenyum dalam hati. Berusaha gigih mengawal reaksi wajah.

“Dah tak ada jag lain, bos. Yang ini aje yang ada.” Aku menjawab malas. Setelah selesai menuang air kopi tersebut, aku cepat-cepat beredar keluar.

“Batrisya.” Aku mengeluh perlahan mendengar namaku dipanggil lagi. Apa lagilah yang Taufik mahukan? Aku menoleh perlahan-lahan.

“Terima kasih. Kopi awak sedap.” Taufik sudah menghirup air kopiku. Tidak jadi hendak marah Taufik, sebaliknya aku senyum meleret. Berbunga-bunga setaman kopiku dipuji. Setelah itu aku keluar dari bilik Taufik.

Kira-kira setengah jam selesai minum kopi, kami didatangi oleh Puan Rania yang merupakan setiausaha Datuk Fauzi. Dia datang bersama seorang wanita yang bagi aku sungguh cantik. Jika dikira memang sangat sepadan dengan Taufik. Sempat pula aku memadankan orang. Kalau dibandingkan wanita cantik itu dengan aku, macam merak dengan ayam katik. Ayam katik itu akulah.

“Saya nak perkenalkan Harlina kepada anda semua. Harlina akan mula bekerja di bahagian ini sebagai setiausaha Encik Taufik.” Puan Rania memperkenalkan Harlina kepada kami. Dalam tempoh dua hari ini, jabatan kami telah mendapat dua orang staf baru. Tetapi yang peliknya semasa Encik Faizal dulu tiada setiausaha pun disediakan untuk beliau. Taufik kan orang penting syarikat, jadi haruslah mempunyai setiausaha, fikirku dalam hati.

Harlina ditempatkan di meja kosong yang berdekatan dengan bilik Taufik. Betul-betul di tepi pintu pejabat Taufik. Mana tahu mereka berjodoh pula. Bagus juga Harlina muncul, pasti perhatian Taufik akan lebih teralih kepadanya. Mungkin selepas ini tiada lagi orang yang akan asyik memanggil-manggil namaku.

Aku sempat berbual-bual kosong dengan Harlina, sekadar ingin beramah mesra dengan pekerja baru. Dia lebih selesa kami memanggilnya Lina sahaja. Katanya lebih pendek dan ringkas.

Petang itu ketika baru sahaja hendak keluar ke tempat letak kereta, aku terserempak dengan Harlina.
“Hai Lina. Tunggu siapa?” Aku menyapa Harlina.

“Hai Amaani. Saya tengah tunggu boyfriend saya. Awak drive sendiri ke?” Harlina menyoal kembali. Nampaknya Harlina sudah berpunya. Baru sahaja aku hendak memadankan dia dengan Taufik tetapi ternyata gagal.
“Haah. Saya drive sendiri.” Aku menjawab pendek kemudian tersenyum.

“Oh, itu pun boyfriend saya sampai.” Harlina menuding ke arah sebuah kereta Proton Perdana yang menyusul masuk ke pekarangan bangunan. Teman lelaki Harlina sempat membuka cermin tingkap.

“Sayang, kenalkan ni rakan sekerja I. Amaani namanya. Amaani… Ni Zafrul, boyfriend saya.” Harlina sempat memperkenalkan kami. Aku hanya tersenyum sekadar mengelak daripada dipanggil sombong.

“Hai, Amaani. Tolong jaga girlfriend saya baik-baik.” Zafrul sempat berseloroh sambil mengenyitkan mata. Spesies gatal rupa-rupanya. Aku senyum dalam keterpaksaan. Kurang selesa diperkenalkan dengan kekasih orang.

“Bye, Amaani. Jumpa esok.” Harlina masuk ke dalam kereta dan kereta itu meluncur pergi meninggalkan aku. Aku masih berdiri di situ memikirkan idea kurang bijak aku pagi tadi. Tetapi apabila difikirkan balik, orang secantik Harlina pasti ramai yang terpikat. Beruntung siapa yang memiliki Harlina. Nampaknya Taufik terpaksa undur diri. Cup, bila pula Taufik sukakan Harlina? Aku yang pandai-pandai memadankan mereka.

“Batrisya.” Aku terkejut dan kunci di tangan terjatuh. Aku terus menoleh ke belakang, ke arah suara yang cukup aku kenali. Kunci aku biarkan di atas jalan. Nantilah ambil.

“Kenapa awak berdiri sorang-sorang kat sini? Apa yang awak fikirkan?” Soalan lagi daripada Taufik. Naik rimas aku dibuatnya.

“Tak ada apa-apa, bos. Saya dah nak balik. Jumpa esok, bos.” Aku terus beredar menuju ke arah kanan, kemudian baru aku teringat keretaku diparkir di sebelah kiri. Aku berpusing ke arah bertentangan semula. Taufik pasti gelakkan aku.

Sampai di kereta, ketika aku hendak membuka pintu, baru aku perasan kunci tidak ada bersamaku. Aku terus sahaja berpaling untuk mengambil kunci yang jatuh tadi dan Taufik sudah muncul betul-betul di hadapan aku.
“Mak!!!” Aku menjerit kecil.

“Amaani, awak okey?” Taufik semakin menghampiri aku dan seperti hendak memegang tangan aku.
“Bos, jangan pegang saya!” Aku sempat menjerit. Taufik seperti agak terperanjat mendengar aku menjerit. Mujur tiada orang di situ. Jika tidak, pasti malu Taufik dibuatnya.

“Maaf. Saya tak ada niat nak sentuh awak. Awak betul-betul okey?” Ada nada risau dalam katanya.
“Saya okeylah, bos. Jangan risau. Saya nak balik dulu.”

“Kunci awak.” Taufik menyerahkan kunci kepada aku. Rasa bersalah pula kerana menengking Taufik tidak tentu pasal tadi. Rupa-rupanya dia hendak memulangkan kunci kepada aku.

“Terima kasih.” Aku mengambil kunci itu dan terus membuka pintu kereta. Aku masuk ke dalam kereta dan memandang Taufik sekilas. Dia masih di situ, menunggu kereta aku meluncur pergi. Aku tertanya-tanya dalam hati kenapa aku sering dipertemukan dengan Taufik dalam keadaan yang tidak dijangka. Jika dikatakan Taufik itu stalker, macam jahat pula dan lebih tepat tidak logik. Apalah yang ada padaku sampai dia perlu intip aku. Letih memikirkan itu semua, akhirnya aku memainkan lagu. Layan lagu lagi bagus daripada fikir pasal Taufik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *