Baca Novel Beijing, Aku Cinta Dia!

Baca Novel Beijing, Aku Cinta Dia!

Baca Novel Beijing, Aku Cinta Dia!

Novel Beijing Aku Cinta Dia!

Oleh : Ania Malna

Aku laju menghirup minuman di hadapan. Bahagianya terasa apabila haus disuakan air. Hampir tiga jam aku, Fika dan Sara menghabiskan masa berjalan di dalam Pavilion. Di tangan masing-masing penuh dengan beg berisi barangan yang dibeli. Boleh dikatakan hampir kesemua kedai yang terdapat di dalam Pavilion kami redah. Hari ini memang niat kami untuk berbelanja sakan. Aku yang beria-ia mengajak mereka membeli-belah hari ini.

“Rina, bila nak masuk kerja?” Fika memulakan bicara setelah masing-masing lega dapat menghirup minuman sejuk.
“Lepas kahwin kut. Rina tak puas lagi tau cuti.” Aku sudah duduk bersandar di kerusi.

“Tak puas? Helooo Cik Rina, dah tiga bulan tau habis belajar,” ujar Sara dengan penuh semangat dengan lenggok badan sekali.

“Eh, kalau ikutkan hati, Rina memang nak duduk rumah aje tau. Malaslah nak kerja, tapi bila fikirkan semula, belajar bertahun-tahun, tapi terperuk dalam rumah. Rugi kut, lagipun tahulah kan syarikat papa tu, nak tak nak Rina kena tolong papa uruskan juga. Kesian papa.” Aku kembali menghirup minuman.

“Untunglah anak Datuk, kan.”

Aku ketawa kecil mendengar kata-kata Fika.

“Yang Datuk tu papa Rina, bukannya Rina. Kalau Rina jadi Datuk, haruslah Rina pindah Paris, tinggal kat sana. Hari-hari Rina menyopping kat sana.” Aku mengangkat kening minta disokong.

“Habis tu Ikhwan takkan nak ikut juga?” Sara ni, aku baru aje memasang angan-angan, sekarang sudah pecah berderai.
“Ala, Ikhwan tu lain ceritalah.” Malas aku membicarakan hal Ikhwan. This is girls out, tak mahu cerita tentang lelaki walau Mr. D sekalipun.

“Fika dengan Sara okey kan nak jadi pengapit Rina?” Aku mengubah topik perbualan. Tidak mahu kisah Ikhwan berpanjangan.

“Takkanlah dua orang kut pengapit. Lagipun Sara risaulah jadi pengapit sebab orang cakap kalau jadi pengapit nanti lambat kahwin.” Tawa aku dan Fika pecah berderai mendengar kata-kata Sara.

“Sara ni mengarutlah. Mana ada, akak Fika tu kahwin aje padahal dia jadi pengapit lebih lima kali tau. Janganlah percaya benda-benda macam tu. Jodoh pertemuan, ajal maut semua di tangan Allah. Percaya pada Allah.” Fuhhh! Menikam kata-kata Fika. Tiada siapa mampu menyangkal.

“Baik, ustazah.” Aku dan Sara sama-sama menjawab dan setelah itu kami sama-sama ketawa.

Merekalah teman aku sejak dari sekolah menengah lagi. Bukan sekadar teman, tetapi sahabat susah dan senang juga. Kami sememangnya sangat rapat, semua kisah hidup masing-masing kami kongsikan bersama-sama. Walau kedua-duanya datang daripada keluarga yang sederhana, mereka tidak pernah mengambil kesempatan terhadap diri aku dan keikhlasan merekalah yang menjadi pengikat persahabatan kami bertiga. Aku bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan sahabat sebaik mereka.

“Papa.” Aku memanggil papa yang khusyuk menatap komputer riba di hadapannya.

“Ya, sayang… Kenapa?” tanya papa dengan lembut, namun mata papa masih melekat pada skrin komputer riba.
“Susah ke nak uruskan syarikat?” Soalan yang kurang cerdik daripadaku.

Mestilah susah jawapannya, tapi aku yakin jawapan papa akan panjang berjela. Risau dan takut untuk memegang tanggungjawab yang berat iaitu menggalas jawatan sebagai pemilik syarikat. Papa bangun dari kerusi empuknya dan datang mendekati aku yang duduk di atas sofa. Papa mengambil tempat di sebelah aku. Bahu aku dirangkul papa.

“Dalam dunia ni, tak ada satu perkara pun yang mudah, sayang. Semua perkara pun susah, sebab setiap apa yang kita lakukan perlu datang sekali dengan usaha. Tanpa usaha, kita takkan dapat apa yang kita inginkan.” Papa menarik nafas dan merenungku dalam. Aku setia menunggu kata-kata papa yang seterusnya.

“Usaha itu penting, asas kepada kejayaan. Ingat sentiasa, Allah tak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri. Belajar tu juga merupakan satu bentuk usaha. Jadi, adik kenalah belajar cara-cara untuk menguruskan syarikat dengan baik. Banyakkan bertanya, tidak kira siapa pun orang tu, pekerja atasan mahupun bawahan. Jangan pernah ada perasaan sombong untuk bertanya. Takkan pernah rugi seseorang manusia tu jika bertanya, malah pelbagai ilmu yang kita akan dapat.”

“Lagi satu, perkara yang sangat penting dalam menempa kejayaan, jaga hubungan dengan Allah. Jangan pernah lupa untuk tunaikan kewajipan kita sebagai seorang hamba-Nya.” Aku mengangguk mendengar hujah bernilai daripada papa. Terasa tenang apabila mendengar kata-kata papa. Cukup bermakna dan penuh pengajaran.

“Adik sorang aje harapan papa, pewaris tunggal syarikat kita. Papa tak boleh bergantung harap kepada Ikhwan sebab dia tentunya perlu memegang tanggungjawab ke atas syarikat daddy dia.”

Aku merenung wajah papa dan aku dapat rasakan papa benar-benar mengharapkan aku sepenuhnya. Hanya aku satu-satunya harapan papa. Walaupun terasa tanggungjawab ini terlalu berat untuk aku, aku harus pikul jua demi menyambung tugas sebagai ketua syarikat yang telah dibangunkan oleh papa. Aku berjanji akan terus mengekalkan kegemilangan dan kejayaan Empayar Jaya Sdn. Bhd. Ini adalah janji seorang anak kepada ayahnya.

“Insya-Allah papa, adik takkan kecewakan papa.” Aku melentokkan kepala di bahu papa dan papa menepuk perlahan belakang aku.

Aku membelek-belek kertas menu. Terasa cukup asing bagi aku. Pertama kali aku melihat menu-menu ini. Yalah aku tidak pernah mencuba makanan Korea. Ikhwan yang beria-ia mengajak aku mencuba makanan Korea tengah hari ini dan aku dibawa ke restoran Kimchi Saranghae. Kata Ikhwan, restoran ini sangat popular di Kuala Lumpur dan pemiliknya ialah orang Korea yang telah memeluk Islam lebih 20 tahun.

“D, sedap ke makanan ni?” Aku sudah meletakkan menu ke meja.

“Belum cuba belum tahu kan, sayang?” Ikhwan masih lagi membelek menu.

“Kita cuba Bibimbap nak tak? Patbingsu, Bulgogi dan Kimbap tambah dengan Ddeokbokki, okey?” Ikhwan mengangkat keningnya, minta persetujuan daripada aku. Macamlah aku tahu semua menu yang disebutnya itu. Nak sebut pun tak pandai.

“Apa tu you? Nak sebut pun macam susah aje?” Aku memang zero bab makanan Korea.

“Sayang mesti sukalah. Bibimbap tu ada nasi dan sayur yang banyak, sayang kan suka sayur. Nasi dan sayur tu akan digaul dan sos istimewa akan diletakkan untuk menambah perisa. Patbingsu pula ais kacang versi Korea, ada kacang merah yang direbus dengan gula. Kimbap pula nasi yang digulungkan dengan beberapa jenis bahan dan dipotong.

Ddeokbokki tu pula rice cake. I paling suka makan Spicy Ddeokbokki, pedas sampai boleh berasap telinga, tapi memang thumbs up.” Ikhwan mengangkat ibu jari kanan sebelum menyambung.

“Bulgogi pula makanan yang berasaskan beef and I am pretty sure you will love it.”

Wow, hebat juga Mr. D. Tahu pula dia makanan Korea. Macam selalu makan aje.
“Hebatlah awak ni, pakar ya makanan Korea? Gourmet!” Aku mula memuji Ikhwan. Pujian yang ikhlas lahir daripada hati. Gourmet bermaksud pakar makan dan minum. Boleh jadi cef nampaknya.

“Afrina.” Satu suara menegurku dan aku mencari suara itu.

“Eh, Kak Nadia.” Aku bingkas bangun apabila melihat Kak Nadia, anak kepada rakan papa yang juga telah menjadi rakan aku secara rasminya sejak tiga tahun yang lalu. Aku mengenalinya ketika majlis ulang tahun Empayar Jaya.

“Lamanya tak jumpa, sihat ke?” Kak Nadia tampak gembira dan aku juga pastinya gembira dapat bertemu dengannya di sini.

“Sihat alhamdulillah. Wah, tak lama lagi Kak Nadia dapat baby la, ya?” Aku dengan selamba mengusap perut Kak Nadia yang nampaknya sudah membesar. Aku juga turut hadir ketika majlis resepsi Kak Nadia.

“Insya-Allah. Oh ya, kenalkan ini suami akak, Abang Aidil.” Abang Aidil menghadiahkan senyuman kepada aku dan Ikhwan.
“Ini tunang Rina, Ikhwan.” Aku memperkenalkan Ikhwan kepada Kak Nadia dan Abang Aidil. Ikhwan bersalaman dengan Abang Aidil.

“Marilah join sekali. Kami pun belum oder lagi.”

Ikhwan ramah sekali mengajak Kak Nadia dan Abang Aidil.

“Tak mengganggu ke?” ujar Abang Aidil, risau kami tidak selesa agaknya.

“Tak adalah, bang… Lagi ramai lagi meriah.” Ikhwan nampaknya selesa memanggil Abang Aidil dengan panggilan abang.
“Marilah Kak Nadia, Abang Aidil.” Aku cuba memujuk dan tangan aku memegang tangan Kak Nadia. Mereka mengangguk tanda setuju. Kak Nadia mengambil tempat di sebelah aku dan Abang Aidil di sebelah Ikhwan.

“Kak Nadia selalu ke makan kat sini?” Aku memulakan bicara setelah masing-masing duduk.

“Selalu sangat. Boleh kata dalam sebulan, dua tiga kali memang datang sini,” jawab Kak Nadia sambil menghadiahkan senyuman yang cukup manis.

“Abang yang tak suka makanan Korea ni pun dah jadi suka akhirnya sebab Kak Nadia selalu bawa ke sini.” Abang Aidil ramah sekali menceriakan suasana.

“Oh, ya… Ikhwan, kalau you nak tahu dulu Kak Nadia ni belajar kat Korea.” Aku sengaja memanggil Ikhwan dengan namanya, malu pula hendak dipanggil D atau sayang di hadapan orang.

“Patutlah suka makanan Korea, ya kak?” Ikhwan tersenyum.

“Selera kena dengan makanan Korea dan kalau nak tahu, adik Abang Aidil ni kawan baik Kak Nadia. Kami sama-sama belajar di Korea.” Aku mengangguk mendengar cerita Kak Nadia.

“Wah, sooo sweet. Kiranya kenal dengan Abang Aidil ni sebab kawan Kak Nadia la, ya?” Aku tiba-tiba berasa teruja dengan kisah Kak Nadia dan Abang Aidil.

“Dan satu lagi, adik abang pula kahwin dengan anak saudara pemilik restoran ni.” Abang Aidil menambah. Aku makin teruja. Cerita yang sungguh menarik. Walau sedikit berbelit, aku tetap faham.

“Pemilik restoran ni Korean Muslim kan, bang?” Ikhwan mencari kepastian walau dia sudah tahu pemilik restoran ini memang orang Korea.

“Haah, adik abang kahwin dengan anak saudaranya yang juga memeluk Islam.” Penerangan daripada Abang Aidil membuatkan aku dan Ikhwan sama-sama mengangguk.

“Jadi maksudnya, Rina makan di kedai bapa saudara suami kepada kawan baik Kak Nadia alias adik Abang Aidil.” Aku membuat kesimpulan dan kami semua sama-sama ketawa. Sangat menarik bagi aku. Tidak disangka-sangka.
“Assalamualaikum.” Satu suara lelaki memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Kami berempat menjawab salam itu.

“Adam, Aimin.” Kak Nadia dan Abang Aidil bangun berdiri. Aku dan Ikhwan turut sama bangun.
Seorang wanita bersama seorang lelaki yang mungkin berbangsa Cina kerana matanya sepet. Mereka berjalan berpegangan tangan, nampak cukup mesra dan romantis. Pasangan suami isteri tentunya.

“Afrina, Ikhwan. Inilah Kak Aimin dengan Abang Adam yang kami ceritakan tadi.” Kak Nadia memperkenalkan kedua-duanya kepada kami.

Aku mengangguk teruja. Jadi lelaki yang aku fikir berbangsa Cina tadi rupa-rupanya orang Korea dan merupakan suami kepada kawan baik Kak Nadia yang juga merupakan adik kepada Abang Aidil. Sangat menarik kisah ini. Rasa kagum terus sahaja lahir.

“Apa khabar akak, abang. Saya Afrina dan yang ni Ikhwan.” Laju aku memperkenal diri aku dan Ikhwan.
“Khabar baik.” Mereka menjawab serentak. Memang sehati sejiwa. They are so sweet. Manisnya mengalahkan madu lebah.
“Marilah makan sekali.” Ikhwan mempelawa Kak Aimin dan Abang Adam. Nampaknya Ikhwan juga teruja dengan kisah mereka.
“Boleh, apa salahnya.” Kak Aimin menjawab sambil tersenyum manis. Comel sangat Kak Aimin.

Kami berenam menghabiskan masa kira-kira dua jam di Kimchi Saranghae. Seronok benar berbual dengan Kak Nadia, Abang Aidil, Kak Aimin dan Abang Adam. Pelbagai kisah dan cerita keluar dari mulut masing-masing. Aku cukup kagum dengan kisah cinta kedua-dua pasangan yang sungguh bahagia ini, aku harap aku juga akan bahagia seperti mereka. Insya-Allah.

Aku tersenyum riang apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon. Panggilan daripada encik tunang, siapa yang tidak suka. Dia bagaikan tahu aku sedang menyediakan puding roti untuknya. Tepat sahaja aku memasukkan puding roti yang telah siap ke dalam peti sejuk, aku terus sahaja menerima panggilan daripadanya.

“Helo.” Aku memulakan bicara dan di wajah sudah terukir senyuman lebar.

“Helo, sayang. you tengah buat apa tu?” Ikhwan bersuara manja. Eee, gatal pula dah encik tunang ni.
“I baru aje lepas buat puding roti untuk you.” Kataku jujur dan senyuman masih setia di bibir.
“Betul ke ni B yang buat? Entah-entah auntie yang buat.”

Aku terus muncung sebaik mendengar kata-kata Ikhwan. Eh, muncung beria-ia macamlah dia nampak.
“Betullah D, kalau tak percaya awak tanya mama.” Ada nada merajuk pada kata-kata aku.
“I percayalah, B. Tak sabarnya nak rasa puding roti tu.”

“Cepatlah sampai sini, janji pukul empat, kan? Dah pukul tiga setengah ni. Kalau lambat, saya makan habis baru tau.” Aku ketawa kecil.

“Sayang, I lambat sikit tau. I kena hantar Fatin ke klinik, dia demam.”
Senyuman aku mati saat mendengar pengakuan Ikhwan. Hati aku mula gundah-gulana. Terasa nafas aku tertahan-tahan. Cemburukah? Mestilah!!!

“Kenapa you yang hantar? Driver kan ada.” Suara aku senada, cuba mengawal perasaan.

“Pak Jamal cuti hari ni. Ni mesti cemburu, kan? Sayang, ingat satu perkara ni, Fatin adik I, selama-lamanya adik I… Jadi, jangan pernah fikir yang bukan-bukan tau. You sorang aje kekasih hati I, takkan ada orang lain. You are the only one, baby.” Lembut sekali kata-kata Ikhwan. Aku merasa cukup lega dan senyuman kembali terukir di bibir aku.
“Janji sayang?” Aku inginkan jaminan terhadap kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut Ikhwan.
“Janji. Okeylah saya nak keluar dah ni. I love you, baby.”

“I love you too, darling.” Geli-geleman pula aku menyebut perkataan itu namun, senyuman tetap melebar.

Aku mematikan talian. Kini sudah tiada kerisauan dalam hati. Aku yakin dan percaya dengan kata-kata Ikhwan dan dia sendiri telah berjanji dengan aku, hanya aku sahaja dalam hatinya. Aku terasa diri aku agak kejam kerana berfikiran yang bukan-bukan terhadap hubungannya dengan Fatin walhal kenyataannya mereka sudah seperti adik-beradik kandung.
Maafkan saya, Fatin sebab meragui awak sedangkan awak terlalu baik. Biarlah semua perasaan negatif dalam diri aku hilang, aku mahu berfikiran baik-baik sahaja menjelang majlis pernikahan kami yang tidak sampai dua minggu lagi. Menanti hari bahagia bergelar isteri kepada Ikhwan Hafizi.

Aku tersenyum puas melihat puding roti yang baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk. Sebentar lagi, pasti Ikhwan akan tiba. Sepuluh minit yang lalu dia menghantar mesej mengatakan yang dia akan menghantar Fatin pulang ke rumah dahulu dan setelah itu, dia akan terus ke sini.

Puding roti yang sejuk aku letakkan di atas meja. Di atas meja sudah tersedia bahan-bahan yang akan aku gunakan sebagai hiasan puding roti. Ada coklat cair yang telah disejukkan, rice chocolate dan krim berwarna merah jambu. Pertama sekali, aku menyapu rata coklat cair ke atas puding roti, seterusnya rice chocolate ditabur dan akhir sekali, aku melakar bentuk hati dengan menggunakan krim merah jambu.

Setelah berpuas hati dengan hiasan puding roti, aku mengangkat puding roti untuk dibawa ke ruang tamu sambil tersenyum gembira. Puas hati dengan hasil air tanganku sendiri. Baru sahaja langkah yang kedua, mama tiba-tiba muncul di dapur. Wajah mama sugul dan resah. Senyumanku mati, aku tiba-tiba berasa tidak sedap hati.

“Mama, kenapa ni?” Aku bertanya kerisauan. Risau melihat wajah mama yang cukup keruh. Di pegangan mama ada telefon bimbit. Apakah yang berlaku?

“Adik…” Mama bersuara perlahan, masih lagi berdiri kaku.

“Ya, mama… Kenapa?” Aku juga tegak berdiri tidak bergerak.
“Ikhwan kemalangan, sayang.”

Ya Allah! bagai hendak keluar jantung aku saat mendengar berita yang baru disampaikan oleh mama. Nafas aku bagaikan terhenti. Puding roti yang dipegang oleh aku terlepas dari tangan dan jatuh ke atas lantai. Dada aku sesak dan air mata sudah berjuraian turun ke pipi. Lutut aku lemah dan aku jatuh terjelepok ke atas lantai, mama menerpa aku dan memeluk aku erat. Aku menangis semahu-mahunya di bahu mama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *