Baca Novel Cinta Yang Tak Terungkap

Baca Novel Cinta Yang Tak Terungkap

Baca Novel Cinta Yang Tak Terungkap
Cinta Yang Tak Terungkap

Prolog

LOCENG di bangunan akademik baru sahaja berbunyi menandakan tamatnya waktu prep. Keadaan agak kecoh di dalam kelas 1 Al-Dinawari apabila para pelajar berebut untuk meninggalkan bilik darjah.

Sofie masih tetap di tempat duduknya. Dia sengaja mengemas barangnya dengan lambat untuk mengelakkan kekalutan itu. Seperti biasa, dia merupakan pelajar terakhir yang beredar dari kelas.
“Lady… Ada surat untuk Lady.”

Sarah yang telah sedia menunggu di koridor luar menghampiri Sofie sebaik sahaja gadis itu keluar dari bilik darjah.
Sofie mengerutkan dahinya.

“Surat apa ni, Sarah?” Sofie teragak-agak untuk menyambut surat yang disua oleh Sarah. “Daripada siapa?” soalnya lagi.

“Lady baik dengan dia…” Sarah yang berlainan kelas dengan Sofie tersenyum.

Surat itu disambut selepas memastikan tiada sesiapa yang melihat mereka. Terketar-ketar tangan Sofie semasa menyelit surat tersebut di dalam buku sejarah. Selepas itu dia terus beredar.

Namun di suatu sudut yang agak terlindung, seorang pelajar putera memerhatikan peristiwa itu dengan penuh harapan.

SOFIE membaca surat tersebut di dalam dorm dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu perkara itu menjadi bahan bualan pelajar lain. Namun ternyata sukar bagi Sofie untuk mendapatkan privasi.

Akhirnya Sofie mendapat peluang ketika rakan-rakannya dibuai mimpi. Itu pun Sofie terpaksa meninggalkan bilik dan berdiri di hujung koridor bagi menumpang cahaya lampu tandas malah dia perlu berwaspada kerana tandas terletak di hadapan bilik warden.

Assalamualaikum.

Ke hadapan saudari Lady@Sofie Hany, semoga saudari berada dalam keadaan sihat walafiat. Maaf jika kedatangan surat ini mengganggu saudari.
Saudari,

Sebenarnya tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu saudari yang saya tidak dapat lagi bercakap dengan saudari selepas ini. Ini kerana saya tidak mahu kita berdua digosip. Saya harap saudari faham.
Oleh sebab itu jika saudari tidak keberatan, mulai hari ini kita hanya akan berkomunikasi melalui surat.
Sekian.

Sahabatmu,

-Iqbal Hambali-

“Iqbal tak nak bercakap dengan aku lagi?” Sofie mengetap bibir. Surat itu dirapatkan ke dada. Pelbagai prasangka menjelma dalam fikiran.

Sekilas Sofie teringat bagaimana galaknya dia dan rakannya mengusik Iqbal dengan pelajar perempuan yang merupakan rakan sekolah rendah mereka. Pelajar itu pernah mengaku secara terang-terangan meminati Iqbal.

“Iqbal tak nak kami digosip atau dia sebenarnya marah kerana diejek dengan Balqis?” Berdebar-debar dada Sofie.

Tapi kenapa pula isu gosip yang ditimbulkan? Kenapa Iqbal boleh terfikir macam tu? Lagipun kami bukan pelajar glamor. Antara kami kan tak ada apa-apa hubungan. Jadi kenapa Iqbal takut kami digosip? bisik Sofie lagi.

Sedang kepalanya berserabut memikirkan hal itu, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka dari arah bilik Kak Sakinah, warden dorm.

Putih tapak kaki Sofie berlari ke biliknya untuk menyelamatkan diri.

Bab 1

Sofie terpacak di antara dua buah kios jualan. Pandangannya meliar mencari wajah yang dikenali. Sekali-sekala dia melihat jam tangan dan memusing-musingkan cincinnya. Waktu puncak sebelah pagi telah berlalu tetapi pengunjung yang berurusan di stesen kereta api itu tetap ramai.

“Apa yang aku buat ni?” bisik Sofie. Jarinya beralih pada zip beg sandang lalu dia bermain rantai kunci yang tercangkuk di situ.

Sudah terlambat sekiranya dia mahu berpatah balik. Rasa menyesal memberi nombor telefon bimbitnya kepada si dia. Sofie terlebih menyesal kerana mulutnya terlepas menyatakan persetujuan untuk menemui si dia.

Untuk seketika, ingatan Sofie terbang ke Malaysia. Zainab kedengaran kecewa selepas diberitahu yang dia tidak akan pulang pada cuti kali ini. Namun apabila mengenangkan perjanjian yang telah termeterai antara mereka, Sofie mengeraskan hatinya.

Mustahil mama ambil kesah. Mama sepatutnya cukup gembira bila aku turutkan kemahuannya, bisik hati Sofie sambil menahan rasa kecewa.

Tiba-tiba Sofie teringatkan sesuatu apabila melihat belon berbentuk hati yang berada di tangan seorang kanak-kanak yang melintas di hadapannya. Cincin yang tersarung di jari manisnya diraba sekali gus ditanggalkan sebelum disimpan di dalam poket seluar.

“Who will buy? Any flower for you, young lady?” sapa wanita yang menjual bunga di kios berhampiran Sofie.
Sofie tersenyum lantas mendekati kios bunga segar tersebut.

“Look at these lovely daisies. Choose your favourite lilies. Shine with the sunflowers. Present roses to lovers!” Tangan penjual bunga terhenti pada kuntuman mawar merah.

Namun perhatian Sofie tertumpu kepada mawar kuning dan merah jambu. Tatkala jemarinya menyentuh kelopak mawar yang selembut baldu, ingatannya kembali pada peristiwa beberapa hari yang lepas.

“Lady, awak tak cam suara saya?” soal pemuda di hujung talian selepas memberi salam.
Sofie tergamam apabila nama gelarannya dalam kalangan rakannya di MRSM Terendak disebut. Sudah lama dia tidak dipanggil dengan nama itu.

“You bercakap dengan siapa, Iqbal?”
Sofie menahan nafas apabila mendengar seorang perempuan.
“Dengan Sofie, kawan yang I ceritakan kepada you.”

“Hai Sofie! Ini Rania!” jerit perempuan itu di corong telefon.

Hampir gugur jantung Sofie. Kalau bukan disebabkan dia sedang berada di atas sofa, mungkin dia telah terjelepok ke lantai. Dia menjauhkan sedikit gagang telefon dari telinga sebagai langkah berjaga-jaga. Siapa tahu kalau dia akan dihadiahkan satu lagi jeritan?

“Hai Rania,” sapa Sofie dalam keterpaksaan.

Dia terdengar lagi perbualan Rania dengan Iqbal tetapi suara gadis itu semakin sayup sebelum akhirnya menghilang.
“Sorry about that. Rania memang lincah dan penuh dengan kejutan,” jelas Iqbal dengan bahasa Inggeris yang berbaur dengan telo Amerika.

“Baguslah awak dan dia serasi,” tutur Sofie dengan tenang tetapi diiringi senyuman kelat.

Perbualan mereka seterusnya berkisar tentang suatu agenda lain. Iqbal yang banyak bercakap. Sofie hanya sekali-sekala memberikan buah fikiran. Itu pun apabila diminta memberi pandangan.

Tidak terfikir oleh Sofie mereka akan bersembang begitu. Itu kali pertama mereka berinteraksi selepas hampir tujuh tahun hanya berkomunikasi melalui surat. Entah bagaimana Iqbal dapat beraksi seperti biasa sedangkan dia berasa kekok.

“Tak sabar rasanya nak jumpa awak. Kita dah lama berkawan tapi dah lama juga tak bercakap.” Suara Iqbal kedengaran seperti berbisik.

“Awak yang nak macam tu…”

“Sofie… Saya dah jelaskan sebabnya dalam surat saya yang pertama.”

“Ya, saya ingat. Awak khuatir kita digosip. Tapi dengan pelajar puteri lain tak apa pula awak bercakap.”
“Awak kecil hati?” Iqbal merendahkan nada.
“Kalau ya pun, semua tu dah lepas.”

“Awak lain daripada orang yang lain. Sebab tu saya takut.”

Sofie memejamkan matanya apabila mendengar kata-kata Iqbal.
“Assalamualaikum,” ucap satu suara mematikan lamunan Sofie.
Sofie mendongak.

“Awak masih sukakan bunga mawar?” soal Iqbal apabila melihat Sofie terpempan.
“Why not?” Sofie cuba menjarakkan dirinya dari Iqbal.

Iqbal menanggalkan baseball cap lalu mengemaskan rambutnya.
“A pink rose nicely wrapped in a decorative sheet, please.” Iqbal membuat pesanan kepada penjual bunga.
“Sure! A rose for a lover!”

“Dah lama saya perhatikan awak.” Pandangan Iqbal menyapu wajah Sofie.
“Mana Rania?” Soal Sofie sambil melarikan pandangan.

“Dia masuk ke confectionery store. Katanya nak beli mints.” Mata Iqbal masih menatap wajah Sofie.
Sofie meneguk air liur. Otaknya bekerja keras memikirkan kata-kata yang sesuai untuk diucap.
“Awak masih sama macam dulu, Sofie.”

“Dah lebih tiga tahun, takkanlah tak ada yang berubah.”
“Tidak bagi saya.”

“Tapi awak dah berubah,” komen Sofie sambil melarikan anak matanya.
Memang dari segi fizikal susuk tubuh rakan yang dikenalinya sejak kecil itu kelihatan lebih matang. Namun apa yang dimaksudkan oleh Sofie sebenarnya berkait dengan prinsip dan pegangan pemuda itu.

“Your flower, sir,” ucap penjual bunga kepada Iqbal.
“Untuk awak, Lady.”

Setelah menghidu keharumannya seketika, Iqbal menyerahkan bunga itu kepada Sofie.

PADA kaca mata Sofie, Rania ialah seorang gadis manis yang berketerampilan. Biarpun bertudung, Rania tampil bergaya dan elegan. Berada di sisi Rania menyebabkan Sofie yang menggemari gaya sleek dan feminin tetapi ringkas berasa dirinya tenggelam.
Dia tidak menyalahkan Iqbal. Lelaki secara semula jadi akan mengejar yang terbaik. Namun sikap Rania yang suka bermanja-manja membuat Sofie rasa terpinggir.
Dia cuba mengelak berjalan seiringan dengan Iqbal dan Rania. Dia berjalan di hadapan membuatkan dirinya tidak ubah seperti pemandu pelancong. Walaupun jiwanya luluh, dia terus menunjukkan wajah ceria.
“Kita nak ke mana sebenarnya?” soal Rania.
“Kita ikut perancangan semalam ya, Sofie?” soal Iqbal kepada Sofie tanpa menjawab soalan Rania.
Sofie menurut sahaja. Mula-mula dia membawa pasangan itu ke kastil Tower Of London yang terletak di tebing Sungai Thames. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Tower Bridge yang terletak berdekatan.
Sofie sengaja menyusuri laluan pejalan kaki di sebelah yang berbeza ketika merentasi ikon London itu agar dapat menjauhkan diri dari mereka.
Sofie berhenti di tengah-tengah jambatan untuk menenangkan fikiran. Selepas menikmati pemandangan sungai buat seketika, dia berpaling ke arah trafik yang bergerak perlahan. Namun apabila bas dua tingkat berwarna merah yang berada di tengah jambatan bergerak, Sofie mendapati dirinya berhadapan dengan Iqbal. Pemuda itu juga berada di tengah-tengah jambatan bertentangan dengan dirinya.
Kedua-duanya terpaku apabila pandangan mereka bersatu. Terikat tetapi terpisah oleh jarak. Mata dan hati mengambil alih proses komunikasi. Namun hubungan mata itu terputus apabila Rania menghadang pandangan mereka.
“Sofie, tolong ambilkan gambar kami dari tempat you berdiri!” laung Rania. Gadis itu terus merapatkan dirinya dengan Iqbal.
Sofie merakam gambar pasangan itu dengan telefon bimbitnya. Kemudian dia mengirim gambar itu ke telefon bimbit Iqbal.
“Jom kita ke Millenium Bridge!” ajak Rania lagi.
Jauh mereka berjalan dan banyak tempat mereka singgah. Selain menjadi pemandu pelancong, Sofie juga menjadi jurugambar.
“Selepas ni kita singgah makan dululah. Perut I dah berkeroncong. Biar I belanja,” ucap Rania selepas melawat bangunan parlimen dan Big Ben. Kemudian mereka terus menuju ke sebuah restoran.
Sementara menunggu pesanan, mata Sofie memerhatikan hiasan dalaman restoran. Berdasarkan restoran yang dipilih oleh Rania, Sofie dapat meneka bahawa gadis itu datang daripada keluarga berada.
Tidak lama kemudian hidangan yang dipesan tiba.
“Teruklah restoran ni! I pesan chips tapi mereka hidangkan fries.” Rania membentak tiba-tiba. Pinggannya ditolak ke tengah meja sehingga berlaga dengan pinggan Sofie.
Sofie yang sedang menyedut minumannya hampir tersedak. Dikerlingnya hidangan di atas pinggan seramik itu.
Tiba-tiba seorang lelaki yang kelihatan seperti ketua pelayan datang ke meja mereka.
“Is there any problem, miss?” soal lelaki itu dengan penuh hormat.
“Could you bring a small basket of crisps, please?” Sofie menambah pesanan untuk menyelamatkan keadaan. Rania yang berada di hadapannya hanya memuncung sambil berpeluk tubuh.
“Certainly.” Lelaki itu tunduk dengan senyuman sopan.
“Rania… Iqbal… Kerepek kentang yang dipanggil chips oleh orang Amerika dipanggil crisps oleh orang Britain. Kentang goreng yang dipanggil fries di USA pula dipanggil chips di sini,” beritahu Sofie dengan suara yang rendah.
Rania mencemik. Bahunya dijongketkan.
“Bukan salah I. Kalau semua makanan dan minuman dipamerkan dalam menu, tak timbul masalah perbedaan bahasa,” dengus Rania, masih tidak berpuas hati.
“Take it easy, Rania. Sekejap lagi sampailah kerepek kentang you. Sofie dah oder,” pujuk Iqbal seraya mengerling ke arah Sofie.
Sofie terus menikmati sandwic udang dan mayonis kegemarannya tanpa mempedulikan adegan pujuk memujuk yang berlaku di hadapan matanya.

SELEPAS makan, mereka menuju ke Oxford Street atau lebih dikenali sebagai syurga membeli-belah atas permintaan Rania.
Wanita dan pakaian ibarat muzik bagi keraian. Sofie tidak terkecuali tetapi dia berasa tidak selesa apabila Rania turut mengheret Iqbal ke bahagian pakaian dalam. Rania selamba sahaja memilih pakaian dalam seksi untuk dirinya. Sofie pula yang tersipu-sipu menahan rasa malu. Iqbal pula kelihatan serba salah.
Setiap kali Rania mencuba pakaian, Sofie menjauhi Iqbal. Kemudian dia leka memerhatikan pertikaman lidah antara pelancong Arab dengan seorang jurujual.
“Kasihan awak terpaksa menunggu. Rania tu shopaholic,” kata Iqbal menyentakkan Sofie.
“Saya nak minta maaf fasal kejadian di restoran tadi. Rania manja tapi outspoken. Kalau boleh semua perkara kena ikut caranya,” sambung Iqbal lagi.
Sofie memejamkan matanya sejenak. Oh! Begitukah? Bertentangan seratus lapan puluh darjah karakter mereka. Dirinya pula terlalu sukar untuk melahirkan rasa hati sehingga akhirnya merana sendiri.
“Awak teman lelaki dia. Kenalah bersabar.”
“Lebih bagus kalau dia macam awak.” Lembut kerlingan Iqbal.
“Jangan bandingkan kami,” tingkah Sofie. Tangannya disilangkan ke tubuh.
“Kenapa tidak?”
“Sebab… Rania teman wanita awak. Saya pula cuma seorang kawan.” Sofie memalingkan mukanya ke arah bilik persalinan.
Iqbal berganjak lalu berdiri betul-betul di hadapan Sofie.
“Sofie, sejak dulu lagi awak tahu yang saya…”
“Don’t say it, Iqbal. Please…” pintas Sofie. Dia tidak mahu lagi mengungkit kisah lama.
Tiba-tiba Rania yang sedang berada di dalam bilik persalinan menjenguk ke luar. Gadis itu memandang ke arah Sofie dan sempat memberi isyarat sebelum menghilangkan diri semula ke dalam bilik persalinan.
Sofie mengeluh.
“Pergilah Iqbal. Rania perlukan awak,” kata Sofie tanpa memandang Iqbal. Perlahan suaranya kemudian dia menundukkan pandangan.

Entah berapa buah pusat membeli-belah dan butik yang mereka singgah. Menjelang petang, Sofie meminta diri.
“Rania, ini kedai terakhir yang saya dapat temankan awak. Saya kena balik selepas ni.”

“Ya ke? I ingat nak minta you temankan I ke beberapa buah kedai lagi.” Rania masih belum puas berbelanja walaupun enam buah beg kini bergayut di tangannya.

Sofie memandang sekilas apabila beg-beg itu berpindah ke tangan Iqbal.

“I’m sorry. Kalau dapat pasti I temankan,” pujuk Sofie. Bahu Rania disentuh dengan lembut.
“Jom kita hantar Sofie ke stesen kereta api.” Iqbal mencelah.

“Tak perlu. Saya boleh pergi sendiri. Awak temankanlah Rania shopping,” pintas Sofie.

“You dah temankan kami. Sekarang giliran kami pula untuk temankan you,” tegas Rania sambil memegang erat lengan Sofie.

Akhirnya Sofie terpaksa bersetuju.

Di dalam kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai tube, Sofie tidak mempunyai pilihan selain duduk berhadapan dengan pasangan itu. Ke mana pun dihalakan pandangannya, dia tidak dapat menghindari daripada melihat aksi mesra mereka.

“You tak ada boyfriend ke, Sofie? I tengok senang-senang aje you ke hulu ke hilir macam burung yang lepas bebas,” soal Rania.

Sofie mengukir senyuman walaupun jantungnya berdegup kencang. Iqbal memandang tepat ke arahnya. Pemuda itu seperti Rania, menanti jawapannya.

“Tak ada siapa yang berminat dengan I,” balas Sofie dengan nada yang mendatar.
“You tak rasa sunyi?”

“I bersendirian, Rania… bukan kesunyian.”

“Oh, I terlupa itu dua perkara yang berbeza.” Rania tergelak kecil.

Iqbal merenung Rania. Dia menggelengkan kepala sebagai isyarat menyuruh Rania supaya berhenti daripada terus menyoal.
“Tapi I tak percayalah orang yang soft spoken dan ladylike macam you tak ada peminat. Entah-entah you yang jual mahal.” Rania terus ghairah menyoal tanpa mempedulikan larangan Iqbal.

“Sofie ada ramai peminat dan secret admirer di maktab dulu tapi dia tak melayan.” Iqbal menyampuk.
Rania menunjal lengan Iqbal. Keningnya yang terbentuk kemas oleh pensel alis terangkat.

“I hairan kenapa you tak terpikat kepada Sofie. But at the same time, I bersyukur sebab kalau you dan Sofie jadi pasangan kekasih, I yang melepas.” Rania menghadiahkan Iqbal jelingan manja.

Cara Iqbal membalas jelingan Rania merobek hati Sofie. Tetapi dia terus memaksa dirinya untuk tersenyum.
“Jangan risau, Rania. Iqbal milik you sepenuhnya,” ujar Sofie. Hakikatnya, jiwanya sendiri terasa ranap tatkala mengungkap ayat itu.

Mendengar kata-kata Sofie, Rania ikut tersenyum.

Tiba-tiba Sofie resah apabila Iqbal kembali merenungnya. Seperti dahulu, panahan mata Iqbal bukan sahaja menikam anak matanya tetapi turut menusuk dadanya.

“Kenapa semua orang senyap macam ada malaikat melintas? You letih, Sofie?”
“A bit,” jawab Sofie seraya tersenyum lemah.

“You pun sama?” Pandangan Rania beralih kepada Iqbal.
Pemuda itu mengangguk.

“Ini yang buat I cemburu! You berdua sahabat sehati, sejiwa dan setenaga. I pula masih ada stamina untuk membeli-belah sampai kedai ditutup.” Rania memuncung seketika sebelum ketawa.

Sekali lagi Iqbal merenung wajah Sofie menyebabkan Sofie menjadi tidak tentu arah. Apatah lagi Rania juga memandangnya.

“Sofie… sebagai kawan, I nak nasihatkan you.”

Kata-kata Rania itu membuat Sofie meneguk air liur.
“Kadang-kadang peluang hanya datang sekali. Rugi kalau kita tak merebutnya. Jadi bila you dah jumpa seseorang yang you suka, jangan lepaskan dia. Itu yang I buat bila I jumpa Iqbal,” sambung Rania sambil mengenyitkan mata kepada Iqbal.

Melihat Iqbal membalas kenyitan Rania, Sofie mencerunkan pandangannya ke arah lantai tube.
“Tak apalah, Rania. Kalau I kehilangan sesuatu, I anggap itu ketentuan Tuhan. Sesetengah hubungan tetap tak berhasil tak kira sekeras mana kita usahakan. Kita tak tahu, mungkin apa yang kita nak dan harapkan tak ditakdirkan untuk kita.”

“Tak bolehlah macam tu. Kita tak boleh jadi wanita yang lemah. Takkanlah you nak jadi anak dara tua? Sanggup you tengok Iqbal dan I beranak pinak dan hidup bahagia tapi you meniti usia sebatang kara?” bantah Rania. Bersungguh-sungguh dia menggeleng.

“Tak apa, Rania. Kalau itu takdir I, I reda.”
Rania terus menggeleng.

“Biarlah, Rania. Itu pilihan Sofie,” tegur Iqbal. Dikerlingnya Sofie sekilas.
Rania menampar lembut lengan Iqbal.

“You ni, Iqbal. Biarlah Sofie yang jawab. Belum sempat dia jawab, you dah potong,” marah Rania sebelum berpaling semula ke arah Sofie.

“Tapi you memang peliklah, Sofie. Kita jauh berbeza. I ni jenis yang takkan beri peluang kepada orang lain untuk ambil apa yang I suka.”

Sofie hanya tersenyum kelat.
That why you are the winner, Rania… And I… the loser, ucap Sofie dalam hati.

Dari stesen tube mereka berjalan dalam lingkungan seratus meter menuju ke stesen kereta api. Hujan tiba-tiba turun semasa mereka melalui sebuah kawasan yang tidak berbumbung.

Takkala itu juga Sofie tewas kepada perasaannya. Sangkanya dia dapat menganggap Iqbal sebagai kawan biasa tetapi dia tersilap. Nasiblah hujan dapat menyembunyikan air matanya yang mula gugur.

“Selalu ke hujan di UK in summer?” soal Iqbal sambil mengenakan topi baseball yang disimpannya tadi.
“British weather sukar dijangka,” komen Sofie sambil menadah tangannya.

“Kenapa you tak tutup kepala?” soal Rania yang berlindung dengan begnya.

“Untuk apa? Ini kan facial wash percuma.” Sofie mengulas senyum bagi menyembunyikan rasa hati.

“Kalau macam tu saya pun nak free hair wash.” Iqbal menanggalkan semula topi baseball.

Sofie meraup mukanya beberapa kali sebelum memasuki bangunan stesen kereta api London Euston. Kemudian mereka terus menuju ke paparan jadual perjalanan kereta api yang bersaiz gergasi.

“You tunggu di sini dengan Sofie. I nak pergi beli barang,” bisik Iqbal kepada Rania. Beg-beg yang dibawanya ditinggalkan dengan Rania.

“Yang mana satu kereta api you?” Rania mencuit bahu Sofie.

“Tengok maklumat under Platform 13.” Sofie mengunjuk ke arah satu sudut pada papan jadual perjalanan sebelum menyebut destinasinya.

“Di Platform 8 pun ada kereta api yang pergi ke tempat yang sama. Kenapa tak ambil train tu?”
“Waktu pelepasannya lambat lagi.”

“You tak sabar nak tinggalkan kami?” Rania memegang pergelangan tangan Sofie.
Sofie terkedu. Dia tidak sempat menjawab apabila Iqbal tiba-tiba muncul.

“For you.” Iqbal menghulurkan sekuntum bunga mawar merah jambu kepada Sofie.

“Untuk Sofie lagi? Dah dua kali you beri Sofie bunga hari ni,” protes Rania.

“Yang tadi untuk hai. Yang ni untuk good bye. Rania… You kan selalu dapat bunga daripada I,” balas Iqbal dengan nada memujuk.

Rania tersengih. “Sebab inilah I terpikat dengan Iqbal, Sofie. Dia romantis orangnya. Selalu hujani I dengan coklat dan bunga.”

“You beruntung,” komen Sofie sambil menyambut bunga mawar yang dihulur kepadanya.

“Seronok dapat jumpa and spending time dengan you berdua. Have a safe journey,” ucap Sofie kepada pasangan itu.
“Terima kasih sebab sudi jadi pemandu pelancong kami.” Rania mencium pipi Sofie dengan girang. “Bila you nak ke USA?” soal Rania semasa mereka sedang berpelukan.

“I can’t.” Cepat-cepat Sofie menjawab.

“Kenapa?” Dengan pantas juga Iqbal bertanya. Riak wajahnya berubah. Pada masa yang sama, Rania meleraikan pelukannya.
“I tak ada sesiapa di sana.” Sofie memberi alasan yang difikirnya logik.
Rania membeliakkan matanya.

“Kami kan ada. Betul tak, sayang?” Rania menoleh kepada Iqbal.
Iqbal mengangguk.

“Mmm… Okey, tengok macam mana nanti.” Sofie terpaksa beralah.

“Bila you datang nanti kita sambung perdebatan kita tentang cinta. Mungkin pandangan you akan berubah bila tak dikelilingi orang-orang British yang konservatif,” tutur Rania tanpa berlapik.

Sofie tersenyum. Tidak dapat dinafikan dia menyenangi gadis itu. Biarpun pertama kali berjumpa, Rania cepat mesra.
“Saya kena pergi sekarang.”

“Jaga diri, Sofie.” Iqbal mengucap salam perpisahan. Berbanding Rania, wajahnya agak suram.
Sofie mengangguk.

“Jangan peluk boyfriend I,” gurau Rania sambil menggoyangkan telunjuknya.
Sofie dan Iqbal tertawa.

Sofie terus berjalan pantas. Sewaktu memasukkan tiket ke dalam slot pengimbas, air mata yang ditahan bertakung kembali.

“Keep in touch!” Laungan Iqbal memaksa Sofie melambai buat kali terakhir. Kemudian dia berlari ke Platform 13 tanpa menoleh lagi. Pintu koc tertutup sebaik sahaja Sofie berada di dalam kereta api. Beberapa saat kemudian, kereta api mula bergerak.

Sofie menghidu bunga mawar di tangan. Kemudian bunga itu disatukannya dengan bunga yang tersimpan di dalam beg.
Disandarkan tubuhnya pada tempat duduk. Matanya dipejamkan. Pemandangan luar yang panoramik kelihatan hambar baginya.

Keluhan berat yang dilepaskan tidak dapat membebaskan rasa yang terbuku. Perasaan Sofie hancur ketika mengetahui Iqbal dan Rania memadu kasih. Namun selepas bertemu dengan mereka, dia seperti terus kehilangan hatinya.

Akhirnya gadis itu menangis teresak-esak sehingga menarik perhatian warga emas yang duduk di bangku sebelah. Tangan tua itu menghulurkan sepeket tisu.

“Take it, love. You need it more than I do.” Bahu Sofie diusap dan ditepuk-tepuk dengan lembut.
“Thank you,” ucap Sofie dengan suara yang tersekat-sekat.

Baca Novel Cinta Yang Tak Terungkap selengkapnya di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *