Baca Novel Pencuri Cinta Kelas Satu 1

Baca Novel Pencuri Cinta Kelas Satu 1

Baca Novel Pencuri Cinta Kelas Satu 1

Pencuri Cinta Kelas Satu 1

Prolog

AIRA mencipta senyum lebar. Barisan novel yang tersusun di hadapan mata dipandang dengan perasaan teruja.
Sangat teruja!

Rambutnya yang dibiarkan lepas tadi diikat tinggi. Dia perlu fokus. Fokus kepada pilihan yang akan dibuat nanti. Bajet beli dua buah novel aje. Mana cukup duit nak beli semua yang berkenan dalam hati.

Lama sungguh rasanya dia tak habiskan duit untuk beli novel. Bukan apa, hujung-hujung semester macam sekarang ni, duit belanja memang cukup-cukup untuk makan aje.

Ini pun nasib baik alongnya tiba-tiba baik hati nak belanja.

Jangan ada udang di sebalik mi sudah. Heh.

Kemeja yang dipakai ditarik ke bawah, terasa makin singkat pula kemeja dia hari ni. Ataupun dia yang dah makin berisi?

Oh, tidak! Dia tak boleh gemuk! Sekurang-kurangnya sebelum berkahwin. Heh.

Jam tangan dikerling sekilas sebelum matanya kembali meneliti setiap judul novel yang tersusun rapi di atas rak. Rasa macam baru aje dia masuk sini, dah setengah jam rupa-rupanya!

Nasiblah along dengan Zahra kena tunggu. Lagipun, mereka bukan tak tahu perangai dia apabila jumpa kedai buku.
“You!”

Dia berpaling ke kiri, melihat seorang perempuan yang dia agak baru aje mencapai usia 20-an dengan dahi berkerut. Tak kenal.

Dia menghela nafas perlahan sebelum kembali pada rak novel.
“Puas I cari you, dekat sini rupa-rupanya…”

Sekali lagi dia melirik ke kiri. Perempuan tadi dilihat memegang erat lengan lelaki yang tidak jauh daripadanya. Spontan dia mencebik.

Orang zaman sekarang ni…

“Awak nak apa ni?” Kedengaran suara lelaki menyoal dengan nada tak senang.

Dia masih memasang telinga. Bukan nak dengar sangat pun sebenarnya, tapi mereka berdua memang betul-betul berada di sebelah dia. Tutup telinga pun boleh dengar.

“Ini dia, saya punya tunang. Jadi, awak boleh pergi main jauh-jauh, ya? Jangan kacau saya. Boleh?” Lelaki tadi senyum meleret. Mata lelaki itu melirik kepada dia di sebelah.

“I tak percaya!” Gadis yang berambut hitam berkilat itu tiba-tiba menjerit. Tak puas hati.
“Cuba tanya dia. Awak tunang saya, kan sayang?”

Dia tergamam apabila terasa bahunya dicuit perlahan. Bacaan blurb pada belakang novel yang dicapainya tadi terhenti. Laju dia mengangkat kening tinggi sambil memandang wajah si lelaki.

Sesaat kemudian, matanya beralih pula pada gadis yang menjerit tadi. Apa dah jadi ni?

“You! Sampai hati you buat I macam ni!” Sekali lagi gadis itu menjerit kuat. Beberapa pelanggan yang berada berdekatan mencuri pandang. “Kau, perempuan! Berani kau rampas dia daripada aku!” jerit gadis itu lagi.

Jari telunjuk gadis yang menjerit itu terarah tepat pada mata dia. Gadis itu akhirnya meluru keluar dari kedai buku yang sepatutnya sunyi itu.

Dia terdiam, mencerna apa yang berlaku.

“Errr… Terima kasih!” Senyuman dilemparkan kepadanya.

Dia menarik nafas dalam-dalam sambil meletakkan kembali novel tadi ke tempat asal. Tertib.
“Hai, saya…”

Pang!

Tangannya terasa kebas. Sempat dia melihat dahi lelaki itu berkerut.
Hah, baru rasa…

“Awak sengaja nak tambahkan musuh saya, ya?” Perlahan, tapi cukup tajam. Dia terus keluar dari kedai. Niat untuk membaca blurb terus lebur.

LELAKI itu meraba pipinya yang terasa perit. Matanya mengikut langkah gadis tadi sehingga hilang dari pandangan.
Tak menjadi ke lakonan dia tadi?

Rasanya kalau dalam drama, apabila mengaku seseorang tu tunang ataupun isteri, pasti lepas tu dia dapat kenal-kenal. Tapi sekarang… dapat juga, dapat penampar!

Hesy. Kau salah pilih pelakon la!

Perlahan-lahan dia menggosok pipi sendiri. Masih terasa kebas. Dia akhirnya menapak keluar dari MPH. Ingatkan nak cuci mata tengok buku, tapi terserempak pula dengan Si Lenna tu.

Memang sungguhlah malang tak berbau. Yang dapat dibau hanyalah minyak wangi DKNY Be Delicious yang dipakai Lenna tadi. Kuat betul baunya. Minah tu guna minyak wangi kut untuk mandi. Heh.

Dah lama sebenarnya dia larikan diri daripada Lenna. Dia kenal Lenna pun daripada kawan-kawan. Selalu keluar beramai-ramai dan sesekali berbalas mesej.

Patutlah orang kata bersms dengan orang berlainan jantina ni tak elok. Rasanya tak pernah pun dia cakap suka atau cintakan budak Lenna tu.

Boleh pula Lenna salah faham.

Ini semua salah Jidin.

Jidin yang sibuk nak kenalkan dia dengan Lenna dulu. Kononnya nak buat teman apabila Jidin dan Dena keluar dating.
Macam manalah Hardena Yasin, perempuan paling ayu tu boleh berkawan dengan budak Lenna ni? Perangai kontra habis! Untung sungguh Jidin dapat Dena.

Tanpa sedar, dia mengeluh perlahan. Belum cukup 200 meter dia melangkah keluar, matanya menangkap wajah masam gadis tadi. Spontan dia tersenyum lebar.

Gelagat si gadis yang menghempas beg sandangnya ke atas meja dipandang dengan sengihan. Lengan kemeja ditarik hingga ke siku sebelum duduk dengan muka masam mencuka.

Dia menggeleng beberapa kali. Kalau gaya macam ni, bukan setakat nak jadikan tunang, nak jadikan isteri pun kena fikir lima enam kali.

Nafas ditarik dalam-dalam sambil membawa kaki ke arah sasaran. Nak kena bayar hutang ni…

“APA kena ni?”

Diam. Punggungnya dihempas ke atas kerusi. Alongnya yang duduk di hadapan tersengih.
“Hei. Apa hal ni? Period tiba-tiba ke apa? Tak jadi beli buku?”

Bulat matanya memandang si along di hadapan. Baru sahaja ingin membuka mulut, Zahra datang menghampiri sambil menatang dulang makanan. Berhati-hati dia meletakkan dua pinggan nasi goreng dan semangkuk sup. Zahra, bakal kakak ipar dia.

Entah apa mimpi along bawa dia sekali hari ni. Selalunya kalau mereka keluar dating, mana pernah ajak dia sekali.
“Muka macam tertelan biji durian!” Zahra turut sengih. Cekap tangannya mengatur gelas berisi air di atas meja.
“Apa hal ni, achik?”

Dia menarik nafas dalam-dalam. Teh O limau di hadapannya dihirup perlahan.
“Tak ada apa.”

Zahra ketawa. Begitu juga dengan along yang sedari tadi memandangnya menunggu jawapan. Dia mengangkat kening, pelik.
“Tak payah la nak tipu penipu macam kita orang ni, wahai adikku, Aisya Humaira.” Ketawa along masih bersisa.
“Cuba cerita.”

“Ada orang gila tadi…”

“Boleh lepas pula orang gila masuk mall ni?”

Zahra sengih. Lengan along dicubit kuat.

“Dengarlah dulu…”

“Okey-okey.” Tangannya diangkat tinggi, tanda minta maaf.
“Sambung, achik. Sambung.”

Aira mencebik lebar. Menyampuk aje.
“Ada ke patut…”

“Errr, cik. Saya nak minta maaf…”

Ketiga-tiga mereka terus terdiam. Tiga pasang mata memandang tepat ke arah tuan punya suara yang menegur tadi.
Mata Aira bulat memandang lelaki tadi yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

Zahra dan along sama-sama ternganga.

Dia terus mencapai sudu di atas meja sebelum mencedok sup ayam di atas meja. Lelaki yang berdiri di sebelahnya itu sedikit pun tidak dipandang. Suara ala-ala peragut hati tu memang dia cam!

“Errr… Maaf?” Sekali lagi lelaki itu meminta maaf. Along dan Zahra tepat memandangnya, menunggu reaksi balas.
Tapi hampa.

“Achik, dia minta maaf.” Zahra membuka mulut.

“Achik tak kenal dia pun.” Matanya masih tidak berganjak melihat mangkuk sup.

Lelaki itu menggaru kepala, buntu. Sungguhlah dia tak tahu nak buat apa lagi. Patut ke dia blah macam tu aje? Patut ke?

Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak nak, dia pun tak ingin. Heh.

“Maaf sekali lagi.” Terus lelaki itu melangkah kembali ke dalam MPH.
Mata Aira melirik ke arah langkah lelaki itu kembali ke MPH. Spontan dia mencebik.

“Apa yang budak tu dah buat?” Perlahan Zahra bersuara. “Marah sangat nampak.” Lelaki tadi semakin hilang dari pandangan. Hilang ke dalam perut MPH.

Nafas ditarik sambil meletakkan sudu ke atas meja. “Ada ke patut suka-suka hati aje cakap achik ni tunang dia? Nak lari daripada awek dia, sabitkan orang pula. Buaya tembaga betul!”

Along dan Zahra memandang sesama sendiri sebelum ketawa mereka meletus.
“Itu aje?” Along masih lagi ketawa sambil mengelap air matanya yang terkeluar.

Keningnya terangkat tinggi.

“Apa yang kelakar sangat? Kalau awek-awek dia datang cari achik lepas tu simbah asid ke, bunuh ke… Sia-sia aje.” Dia membela diri.

Ketawa Zahra dan along kembali bergabung.

“Along nampak muka dia merah tadi. Kenapa? Takkan blushing kut cakap dengan achik?”
Zahra mengangguk, setuju. Dia sendiri pun ada nampak tadi.

“Achik terlepas tangan tadi…” Aira sengih senget.

Terus bulat kedua-dua pasang mata di hadapannya.

“Hah? Achik tampar dia?” Zahra hampir menjerit.

“Ter… Tak sengaja. Hehe.” Sengihannya masih belum pudar. Betullah, siapa suruh senang-senang tarik dia sekali. Kenal pun tidak.

Along hanya mampu menggeleng. “Achik dah berikan dia satu tanda, tau tak?”

“Hah?” Keningnya terangkat. “Tanda apa pula? Bukan sampai berparut pun achik tampar dia tadi.”
“Achik dah berikan dia satu tanda.” Along sengih lagi.

Spontan Aira mencebik. “Mengarut aje.”

“Kita tengoklah nanti.”

Bab 1

Beberapa tahun kemudian…

Cinta tak salah. Yang salahnya salah gunakan cinta, dan lalai dengan cinta. Life is a song. Love is the lyrics.

“Mommy, ni bukan cerita novel la, mommy.” Dia masih lagi mencuba. Cuba pujuk mommynya, Puan Hayati. Walaupun dia tahu, kalau Puan Hayati kata biru, birulah. Takkan jadi turquoise. Kalau dia kata putih, maka putihlah. Takkan jadi benda lain walaupun kelabu!

Apa? Mommy ingat ini cerita dongeng rakyat? Cerita novel yang berlambak dekat kedai tu? Tolonglah, mommy. Orang baru 24 tahun! Muda belia lagi ni. Takkan nak suruh…

“Mommy tak kira!” Puan Hayati bingkas bangun dari sofa.

“Achik kena ikut juga cakap mommy.” Beg tangan jenama Bonia dicapai dari meja kopi.
Aira mencebik. Puan Hayati takkan tak nak bagi peluang langsung?

“Ala, mommy. Mommy suruh la kak ngah. Takkan achik pula?”
“Aisya Humaira.”

Sudah… Mommy dah sebut nama penuh tu, bukan boleh dibuat main. Silap-silap boleh terbang beg Bonia dia tu melekat pada dahi.

“Mommy cakap achik, kan? Jadi achik la, bukan angah.” Puan Hayati sudah pun bersiap untuk keluar. Tudungnya dibetulkan di hadapan cermin besar di tepi pintu utama. Dah-dah la tu, mommy. Dah terlebih cantik menarik kau memang da bomb dah. Eh, nyanyi pula. Kau tengah serabut ni, Aira. Serabut.

“Tapi orang muda lagi la, mommy. Tunggu la dua tiga tahun lagi…”
Puan Hayati menjegilkan mata.

“No. Mommy cakap sekarang. Achik jangan nak bagi alasan lagi. Yang mommy tahu, achik kena ready dari sekarang!”
Aira hanya mengangguk lemah. Dah tak tahu nak kasi alasan apa lagi dah. Musnah harapan nak bersenang-lenang cuti ni.
Argh! Pagi-pagi lagi Puan Hayati dah buat hukuman mandatori. Dia memandang kosong ke arah Honda yang menyusur keluar dari laman. Dah la belum sarapan nasi lemak terbaik buatan Mak Yang. Mandi pun belum.

Nasib baik gigi dah kena basuh dengan ubat gigi kayu sugi sebelum keluar bilik tadi.
Pagi ke? Dah pukul 10 Aira, oi. Tahulah cuti. Kau tidur tak ingat dunia!

Heh, waktu cuti macam ni la pun nak rehat banyak-banyak. Ingat dekat kolej boleh relaks goyang kaki macam ni ke?
Eh, kejap. Aira! Kau jangan nak pusing cerita pasal kolej. Hal besar depan mata ni. Ada ke mommy suruh dia…
Suruh la angah tu. Lagi sesuai.

Harap-harap mommy lupa permintaan dia tadi lepas balik rumah nanti.
Aira membuka tudung saji. Nampak nasi lemak ayam goreng berempah Mak Yang dah terhidang elok dekat atas meja. Boleh meleleh air liur kalau tunggu walaupun seminit!

Mak Yang keluar dari dapur dengan pinggan kosong. Macam tahu-tahu aje Mak Yang ni. Ini yang buatkan Aira makin sayang!

“Terima kasih, Mak Yang!” Aira sengih. Memang dia sayang Mak Yang.
“Makan cepat. Nanti sejuk pula nasi tu. Mak Yang baru panaskan tadi.” Mak Yang senyum. Dia terus kembali ke dapur.
“Roger, Mak Yang! Sayang Mak Yang!”

“Achik sayang!”

“Oh, mak kau cantik!” Hampir terlepas senduk nasi yang dipegangnya.

Kedengaran ketawa terbahak-bahak dari ruang tamu. Along! Kurang asam Sunquick betul!
“Cun punya latah!” Along menarik kerusi di hadapannya. Aira mencebik.

“Tak payah nak beramah mesra sangatlah, along. Sebab alonglah mommy buat arahan tu, tahu?”
Along masih ketawa. “Oit oit, cantiknya bahasa. Jangan jadi adik derhaka, achik. Karang along sumpah jadi peti ais krim! Sia-sia aje.”

Aira menjuihkan bibir. Nasi lemak disuap ke dalam mulut. Pergh! Sedap hingga menjilat kelima-lima jari!
“Along la…” Suaranya mengendur. Bukan dia nak salahkan along. Bukan juga nak salahkan Kak Long Zahranya. Tapi itulah. Dia tak bersedia. Lagipun dia bukannya reti semua ni.

“Apa?” Along mengangkat kening. Mak Yang keluar dengan satu lagi pinggan kosong. Terus dicedok nasi lemak lalu diletakkan di hadapan along. Along sengih lebar.
“Terima kasih, Mak Yang.”

“Sama-sama. Zahra mana? Dia tak makan?” tanya Mak Yang. Zahra tu isteri along. Kakak ipar Aira. Sikit punya cun kakak ipar dia tu. Tapi Kak Long Zahranya tu, sikit pun tak tahu masak!

Tapi itu ajelah yang dia tak tahu. Bab mengemas memang cemerlang! Rajin dia memang ‘luar alam’. Cuma memasak aje macam ‘jauh’ sikit daripada dia. Memang tak sedap.

“Zahra keluar tadi, Mak Yang. Pergi rumah mak dia kejap. Kakak dia dari Australia balik. Dia dah makan tadi,” terang along. Mak Yang hanya mengangguk kecil. Dia berlalu ke dapur.

“Habis tu kenapa along tak ikut?” Aira mengangkat kening. Gaduh ke apa kekanda berdua ni?
“Along tunggu Thaqif bangun. Kak long tak nak kejutkan dia tadi. Takut dia menangis. Achik tahu kan, kalau dia menangis macam mana?” Along sengih. Spontan menjawab persoalan di dalam kepala Aira.

Aira hanya mengangguk. Memang dia tahu. Thaqif tu anak along. Baru tujuh bulan. Sekali Thaqif menangis, memang boleh buat gelas dekat rumah ni retak! Hah, sebut pasal Thaqif, teringat permintaan mommynya tadi.
“Along dengan kak long memang kena pergi sana ke?”

Along menghirup kopi panas. Dia mengangguk perlahan. Nasi lemak disuap lagi ke dalam mulut. Makan guna tangan aje. Sunnah nabi.

“Ya adindaku, sayang. Along kena pergi juga. Kak long mestilah ikut. Nanti siapa nak jaga along dekat sana.”
Aira mencebik. Alah, bukan lama pun berpisah kalau kena tinggal pun. Setahun aje. Sekarang ni, dia pula yang termasuk dalam perancangan yang tak masuk dek akal ni. Mommy, orang tak nak…
“Achik tak nak ke? Tolong la, dik.” Along sengih.

“Orang muda lagi la, long.” Ayat yang sama dia bagi dekat mommy tadi. Dekat mommy tadi tak berkesan. Mana tahu kut-kut along makan pujukan dia. Heh, along mana makan pujuk, along makan nasi lemak Mak Yang aje.
“Mana ada muda. Achik dah boleh kahwin pun. Achik tak tanya mommy umur berapa waktu kahwin dengan daddy?” Along mengusik.

“Itu cerita zaman purba kala la, long. Mana nak masuk dengan zaman sekarang ni. Zaman Twitter!”
“Banyaklah achik punya Twitter. Jangan asyik sangat berTwitter, Facebook. Ingat dunia realiti sikit.”
Ambil kau, Aira. Sebut lagi benda-benda tu. Kan along dah keluar ayat ‘abang sulung’ dia. Relakslah, along. Adikmu ini pandai jaga diri tau.

“Kenapa mommy dengan along tak suruh angah aje?” Ini lagi satu alasan yang dia bagi dekat mommy tadi. Juga tak berkesan. Cuba dekat along pula.

“Angah kan sibuk dengan master dia. Mana boleh suruh dia. Bolehlah, achik.” Along buat muka kesian. Memang kesian. Tapi itulah. Dia tak reti. Haih.

“Achik tak reti la, long.”

“Mommy kan ada. Mommy boleh ajar. Lagipun, achik boleh bersedia dari sekarang,” pujuk along lagi. Sama aje dengan ayat mommy tadi. Bersedia dari sekarang.

Adoi-adoi dan adoi. Tak nak la. Bukan nak derhaka dengan mommy. Bukan tak kesian dekat along. Tapi…
“Along! Baby nangis!” Suara Dik Qi dari tingkat atas bergema. Seiring dengan suara menangis di bilik along. Along terus berhenti makan. Selepas mencuci tangan, dia terus bergegas memanjat anak tangga ke tingkat dua. Thaqif dah sedar.

Dik Qi menuruni anak tangga. Baihaqi, adik bongsu mereka. Baru tingkatan tiga. Rasanya Dik Qi pun baru bangun. Tak mandi lagi. Dan mungkin belum gosok gigi!

Aira mengeluh perlahan. Haih, la Thaqif. Boleh ke aunty chik jaga kamu nanti?

Sebenarnya Puan Hayati suruh Aira jagakan Thaqif selama setahun sementara along dengan kak long pergi Dubai sebab kerja along tu. Thaqif terpaksa ditinggalkan sebab dia masih kecil. Takut tak tahan dengan perubahan cuaca. Semua idea mommynya. Tahulah Aira baru habis ijazah.

Jadi bibik untuk anak buah sendirilah nampaknya selama setahun ni. Mommy… Orang muda lagi la. Tak reti lagi nak layan baby…

“Achik, buatkan susu untuk Thaqif kejap!” laung along dari tingkat atas. Dik Qi yang baru duduk di meja makan sengih. Aira mencebik. Dia bingkas bangun ke kaunter dapur. Dicapainya bakul susu Thaqif di hujung kaunter.
Amek kau, Aira. Kena belajar jadi ibu sebelum masanya. Adoi-adoi-adoi!

DIA mengelap peluh dengan sapu tangan berwarna coklat tua yang sedia ada di dalam saku. Pelayan yang meletakkan air itu dipandang sekilas dengan senyuman.

Bukan niat nak mengurat. Berbahasa. Heh.

“Aku dah nak kahwin!” Teman di hadapan menayangkan gigi putih yang tersusun kemas. Dia mencipta senyum segaris sebelum menggeleng beberapa kali. Gembira bebenor. Maklumlah, dah banyak bulan Jidin nak pinang awek dia tu, tapi duit tak cukup katanya.

“Dah tetapkan tarikh ke?”

Jidin menggelengkan kepala. Nescafe ais dihirup perlahan. “Belum. Dena baru setuju tadi. Lepas ni baru aku ajak famili aku pergi rumah dia.” Dia tayang gigi lagi.

Dia mengangguk. Faham. Dia dan Jidin sebaya.

Rasanya awal lagi kalau nak kahwin. Tapi tak kesahlah. Jidin pun dah kerja elok walaupun penolong jurutera macam dia aje. Walaupun baru kerja, dah kira ada pendapatan sendiri. Kalau rajin sikit boleh sambung belajar.

Mana tahu boleh duduk sama rendah dengan Cik Hanisa, jurutera ofis dia tu. Barulah enggang sama enggang. Sepadan.

Tapi zaman sekarang memang dah ramai yang kahwin muda. Ramai sangat. Macam nak berbalik pada zaman mak ayah dulu-dulu. Umur belas-belas dah kahwin.

Heh. Kalau diri sendiri masih tak terjaga, macam mana nak jaga keluarga? Boleh percaya ke?
Macam budak yang duduk di meja depan ni.

Pandangannya jatuh pada seorang gadis yang baru siap membancuh susu dan mengoncangkan botol susu beberapa kali. Kalau tengok dari raut wajah, rasanya baru belasan tahun. Paling tak pun, awal dua puluhan. Tapi dah ada anak satu!
Gila awal kahwin!

“Hoi, tenung apa?”

Dia mengalihkan pandangan kepada Jidin sebelum mengukir senyum sesaat. Cawan di atas meja dicapai sebelum disua ke mulut.

“Tu ha, budak tu. Kau agak-agak berapa umur dia?” Muncungnya diarahkan kepada budak awal dua puluhan yang masih asyik menyusukan bayi di dalam.

“Budak dengan baby tu?” Kening Jidin terangkat seinci.

Dia mengangguk, mengiakan. Mata masih memandang seorang perempuan yang sedang melayan anaknya makan. Suami perempuan tadi hilang entah ke mana. Tadi ada.

“Lapan belas kut.” Jidin terdiam sesaat. “Pergh! Awal gila dia ada anak!” Jidin ketawa lepas. “Kau tak rasa tercabar ke, Zal?”

Firzal ketawa perlahan. Tercabar tu memang tercabar. Kiranya, dia pun dah boleh kahwin la, kan? Kerja dah elok. Kalau takat jaga diri, memang dah lulus. Nak jaga anak orang? Lulus ke?

Kalau pun dah lulus nak jaga anak orang, mana nak cari ‘anak orang’ tu? Rasanya zaman sekarang mana wujud dah perempuan yang lekat dekat rumah. Paling tidak pun, weekdays. Kalau weekend tu memang sah la penuh di pasar raya ataupun panggung wayang. Mana nak cari yang lekat di rumah? Kalau dia orang lekat dekat rumah, mana nak nampak, Firzal oi. Memang kau tak boleh nak carilah. Heh.

“Kau bila lagi, Zal?” tanya Jidin.

“Aku bagi peluang dekat kau dululah.” Sengih.

Jidin ketawa lagi. Jidin memang tengah bahagia.

“Kalau kau nak tunggu pinang Puteri Gunung Ledang, memang tak dapatlah, Zal!”

Puteri Gunung Ledang. Bibir Firzal mencipta senyum nipis. Tahu sangat gelaran Puteri Gunung Ledang itu ditujukan kepada siapa.

Hanisa. Ya, dia tahu. Memang tak dapat.

Sekali lagi dia memandang pasangan suami isteri di meja hadapan. Si isteri nampak muda sangat. Macam baru habis tingkatan lima!

Matanya masih terlekat di situ bagai dipaku. Gerak-geri gadis yang hanya berbaju T putih lengan panjang dan berseluar jean lusuh itu dipandang bagaikan ada tarikan. Daripada gayanya, memang sikit pun tak nampak rupa mak orang. Dengan kasut sukan di kaki. Dengan rambut perang panjang mengurai. Dengan jam tangan gedabak.

Tapi okey la. Kira nampak pandai la juga layan anak kecil dia tu walau nampak kekok.

“Jom. Dah jam berapa ni? Bising pula Kak Muna.” Jidin menghabiskan baki Nescafe yang ada sebelum bingkas dari kerusi.
Firzal turut sama bangun sebelum melangkah ke kaunter bayaran. Kak Muna memang akan bising kalau mereka masuk lambat. Kak Muna tu sebenarnya setiausaha bos.

Pantang nampak mereka buat salah sikit. Mulalah nak mengadu. Padanlah tak kahwin lagi. Banyak mulut. Heh.Jahat pula mulut ni. Kena minta maaf dengan Kak Muna lepas ni.

Selesai membuat bayaran untuk minuman, mereka melepasi meja suami isteri muda tadi. Anak kecil itu memandang ke arah mereka dengan dahi berkerut. Firzal cepat-cepat menghadiahkan senyuman.
Comel budak ni. Dah la tembam semacam!

Belum sempat senyuman hilang pada bibirnya, tak semena-mena bayi itu meraung. Firzal mula menggelabah.
Panik.

“Tak payah nak senyum sangatlah!” Keras suara ibu budak tadi. Kening Firzal terangkat. Rasanya dia tak buat salah apa pun. Senyum aje. Kenapa baby ni nangis? Muka uncle ni tak cukup kacak ke, dik?

“Errr, sorry.” Firzal telan air liur. Mak ai suara dia.

Kalah ibu singa! Nampak aje lembut layan anak dia, sekali keluar suara, terus boleh kalahkan Kak Muna menjerit! Heh, Kak Muna lagi.

“Achik…” Suaminya menegur.

Dahi Firzal berkerut lebat. Errr… Suami ke?

“Dia ni la, along. Suka-suka aje kacau Thaqif. Kan dah menangis budak ni. Ingat senang ke nak bagi Thaqif berhenti nangis?” Perempuan yang dipanggil achik itu mula membebel. Firzal masih lagi membeku.
Besar sangat ke salah dia?

Tapi, sungguh dia tak tahu nak buat macam mana. Nak kena belanja aiskrim ke? Tapi budak ni kecik lagi, boleh ke dia makan aiskrim? Entah kenal aiskrim pun tak.

“Tak apa, encik. Kami boleh handle. Thanks!” Si lelaki itu senyum. Firzal mengangguk. Dia menarik nafas lega. Tak adalah teruk sangat pun. Ibu dia aje yang lebih-lebih kut. Heh.

Perlahan-lahan Firzal meninggalkan meja mereka walaupun dalam hati rasa bersalah tu masih ada. Apa pun, dia yang sebabkan bayi tu menangis tadi.

Dan sekarang ni rata-rata manusia yang lalu-lalang menjenguk pasangan muda tadi. Kuat betul suara bayi tu menangis. Padanlah mak dia marah betul. Kalau dia pun, memang hilang akallah nak pujuk kasi diam.

“Achik ni kenapa? Bukan salah dia pun.” Firzal mendengar si suami menegur perlahan. Kaki masih diatur balik ke pejabat. Semakin menjauhi mereka.

“Yalah-yalah. Along la pujuk Thaqif. Achik nak cari kak long kat dalam.”
Firzal hampir tepuk dahi.

La… Bukan suami isteri rupa-rupanya. Dan itu bukan anak dia rupa-rupanya. Dan… Dia belum kahwin rupa-rupanya. Pandai-pandai aje cakap dia kahwin muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *