Baca Novel Seseorang Untuk Aku 5

Baca Novel Seseorang Untuk Aku 5

Baca Novel Seseorang Untuk Aku 5

Novel Seseorang Untuk Aku 5

Oleh : Rehan Makhtar

MALAM tadi Zarul dan Liza tidak naik pun. Tidak mengapalah. Lai pun sudah terlalu letih untuk memikirkan yang tidak-tidak. Letih fizikal dan mental. Biarlah mereka balik berehat dan dia juga mahu lelapkan mata dengan aman tanpa apa-apa beban yang perlu digalas lagi. Dalam mimpi, hanya tergambar cita-cita yang bakal dikejar dan dicapai.

Hari ini kenduri pula. Dialah yang paling letih. Dialah ibu dan dialah bapa kepada pengantin perempuan. Ramai tetamu yang datang hendak bersua mata dengannya. Tidak boleh hendak menolak. Hati orang perlu dijaga. Lagipun, ini sekali dalam seumur hidup. Lai pandang Liza yang sedang melayan tetamu. Juga Zarul yang sibuk melayan kawan-kawannya.

Bibir Lai terukir senyum. Rambut yang diikat ringkas dibetulkan. Wajah yang tetap pucat dan pakaian yang sudah sedikit comot kesan buat kerja dapur membantu pihak katering. Bukan apa, tidak betah apabila hanya duduk sahaja. Dia sudah terlalu biasa buat kerja sebelum ini.

“Kak…” Tanpa sedar, Liza mendekati.

Lai sengih. Dia renung Liza tidak berkelip. Ditariknya Liza dan dipeluk erat.
“Cantiknya adik kakak. Macam puteri.”

Liza ketawa. Pelukan terlepas. Tangan Lai dipegang.
“Malam ni Abang Zarul ajak balik rumah.”

“Hah?” Mata Lai terbuka lebar.

“Tak penat ke?” Dia bukan hendak melarang, tetapi dia penat.

“Tapi, kalau itu kau orang nak, kakak sudi terima. Kan rumah tu kakak rias untuk kau orang berdua…” Dipeluk Liza sekali lagi. Bahagia!

“Nanti lepas isyak kita orang balik, ya?”
Lai angguk berkali-kali.

“Kakak masak sedap-sedap.”

Giliran Liza pula angguk. Bibir tersenyum tetapi hati membekam pedih. Dia kerling suaminya. Nyata, pandangan Zarul sering kali mencuri pandang kepada kakak ipar sendiri. Memang ada yang tak kena. Pasti!

MELIHATKAN pelukan mesra dua beradik itu bertaut lama, hati Zarul menangis. Sepatutnya tidak begini. Payahnya dia hendak terima takdir atas kejahilan sendiri. Dia pernah syak. Dia pernah curiga apabila kerap kali pinangannya ditolak oleh yang tersayang.

Tuduhan dia kepada gadis kesayangannya itu bergema di dalam kepala. Teringat hal lalu, terasa macam mahu patah balik. Tetapi tiada guna. Mesin masa itu hanya dongeng Nobita dan Doremon sahaja.

“Dah bertahun! Kenapa awak masih nak tolak?” Tengkingan dia suatu hari itu bergema memenuhi ruang kebun. Nek Leha pun kerut kening. Dia sudah tidak kesah. Hati sudah terlalu sakit. Rasa dipermainkan.

Mata sepet gadis itu dipandang. Tampak seperti merayu agar difahami, tetapi hati lelaki Zarul payah hendak faham saat itu. Egonya tika itu melangit.

“Saya ada adik. Sikit masa lagi. Tunggu dia dah kerja dan stabil… Masa tu kita kahwin.”

Zarul membentak. Buat pertama kali setelah bertahun-tahun, sabar dia memang hilang. Sakitnya hati!
“Saya sayang awak. Payah sangat ke nak faham? Kita jaga dia sama-sama. Apa masalah awak ni? Awak saja nak main-mainkan saya, kan?” tuduh Zarul bertubi-tubi.

Gadis yang sedang muram itu menggeleng.

“Saya pun sayang awak, Zarul. Sungguh. Tapi, saya mintak sikit masa lagi. Saya tak nak awak terbeban dengan tanggungjawab saya. Sebab apabila kita kahwin, awak akan kahwin dengan beban dan masalah saya segala. Saya nak kita kahwin dengan tenang. Sikit masa lagi, awak. Awak sabar, ya?” Pujukan gadis itu dipandang sepi.

Zarul berpaling dan hendak melangkah tetapi terhenti. Dia berpaling pada gadis itu.

“Atau awak banyak sangat alasan ni sebab ada jantan lain? Selama saya kerja dekat luar sana, awak ada hubungan lain?”

“Zarul!” Keras suara gadis itu.

“Awak merepek. Saya susah payah cari rezeki. Tak ada masa nak ada hubungan lain.”

“Saya tak percaya. Kalau tak, mana mungkin sebab tu aje dari bertahun dulu yang buatkan awak tolak cinta saya.” Bibir Zarul terukir senyuman sinis. Direnung gadis itu penuh dengan kemarahan.

Gadis kesayangannya menggeleng menafikan. Bagai hilang kata.

“Rasanya lepas ni, saya tak nak pinang awak lagi. Saya dah penat menanti. Awak permainkan saya. Awak tak setia. Awak tipu saya. Tapi, lepas ni kalau saya buat apa-apa yang sakitkan mata dan hati awak, jangan kata apa. Biar awak rasa macam mana sakit hati saya selama bertahun dengar alasan awak tu!” Dia terus berlalu pergi dan sejak itulah, keputusan gila dibuat. Keputusan yang telah terlestari hari ini.

Air mata lelakinya hampir tumpah. Kasihnya kepada gadis itu tidak pernah hilang. Hanya ego dan kejahilan yang menafikan.

“Weh!” Bahu Zarul ditepuk kuat.

Zarul terkujat. Dia kalih. Matanya bulat. Dua orang kawan lama muncul tiba-tiba. Terus sedihnya berterbangan. Ditarik kedua-duanya di dalam pelukan. Erat. Dua-dua dalam bidang yang sama tetapi berlainan warna. Hanya dia bidang yang nyata jauh berbeza.

“Aku sampai pun tak sedar ni…” Qadr memulakan bicara. Payah gila mencari alamat Zarul. Berkali-kali tanya orang. Ingat hendak datang semalam sebab Zarul nikah malam tadi, tetapi dia harus menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.

“Kata nak datang semalam?” soal Zarul. Kecewa.
Qadr jeling orang di sebelah.

“Kau tanya mamat lembab ni. Nak datang pun nak kena tanya bini. Gila tak? Sakit hati aku!” Semuanya sebab senior mereka yang seorang ini, tetapi mereka sudah menganggapnya seperti kawan sebaya.

Zarul jongket kening kepada teman di sebelah. Senior yang dikenalinya melalui Qadr sewaktu Qadr menuntut di kolej, tetapi menjadi rapat apabila kerap meluangkan masa bersama apabila lapang.

“Tabik, kapten!” Zarul berdiri tegak.

Ziyad gelak seraya menumbuk perut Zarul. Qadr juga.

“Tunggu Ziyad buat keputusan, sampai ke pagi weh. Risau nak tinggal Puan Teratai Nur dia. Gila sakit hati aku. Rugi cuti aku.” Qadr masih tidak sudah-sudah membebel.

“Sorrylah… Nur tak sihat sikit. Ini pun tak datang.” Jauh juga nak sampai ke Kuala Lipis ini.
“Ini pun aku terus nak balik ni, Rul. Sorrylah, ya! By the way, Nur kirim salam…” Bibir Ziyad sengih lebar.
“Hah? Salam aje?” seloroh Zarul.

“Habis tu nak kirim apa? Kalau hati dia, kau bakal aku campak ke dalam lautan Hindilah,” balas Ziyad.

Tawa mereka bersatu. Ziyad, kisah hidup tragis juga playboy ini. Jatuh cinta kepada bekas penagih dadah. Tersungkur, tergolek mencintai isteri sendiri. Setia tetapi hampir kalah kerana ego dan jahilnya pemikiran. Seperti dia juga. Zarul kalih kepada Lai dan isterinya yang sudah hilang entah ke mana.

“Bro, mana bini kau?” soal Qadr.

Zarul mencebik pada Lai. Qadr kerut kening.

“Itu ke? Macam pelik!” Baju biasa. Nampak comot saja.

Zarul gelak. “Itu kakak dia…”

“Laaa… Gila!” Ziyad menggeleng kurang puas hati.

“Dia masuk ke dalam kut. Kejap aku panggil. Kau orang duduk dulu. Makan bagi kenyang. Kalau perlu tapau untuk Teratai Nur, aku suruh orang tapaukan,” usik Zarul kepada Ziyad.

Penumbuk Ziyad terangkat. Mereka gelak dan Zarul terus berlalu mencari isterinya.
Saat melalui Lai, dia berhenti seketika.

“Kawan-kawan saya datang. Awak pergi layan kejap, boleh?”

Lai angguk tanpa membantah. Malas hendak panjang cerita. Biarlah comot pun. Dia tahu muka dia pun sudah macam zombi. Biarlah. Kaki Lai menapak pada meja yang Zarul maksudkan. Padahalnya, layan diri. Tetapi, tidak mengapalah. Dia pun boleh dikira tuan rumah bagi pihak perempuan.

“Errr… Kawan Zarul, ya?” Lai menegur sopan.

“Ya…” Ziyad memandang tepat kepada Lai. Berkerut kening. Terbayang wajah isterinya masa mula-mula mereka berjumpa dulu. Comotnya… Tetapi dia senyum juga. Biasa yang comot ini kalau bersiap, macam puteri kayangan. Terus disiku Qadr yang rakus meneguk air.

“Saya Ziyad… Ini errr…” Ziyad siku Qadr sekali lagi, tetapi Qadr tetap tidak mahu kalih.
Lai senyum. Dia faham sangat. Orang tidak sudi hendak memandang dia, dia pun tidak kesah. Dia datang ini kerana hormatkan tetamu.

“Saya kakak ipar Zarul. Liza masuk ke dalam. Kejap lagi dia keluar. Makanlah, ya? Saya nak ke belakang kejap.” Tanpa menanti, Lai terus berlalu. Jelingan dan renungan kawan-kawan Zarul menakutkan.

Dia pandang dirinya sendiri. Hantu pun takut tengok aku! Senyuman sinis terukir untuk diri sendiri. Padanlah dia tidak berjodoh dengan Zarul. Tengok pada kawan-kawan Zarul pun, bukan main. Yang seorang itu tidak angkat kepala langsung dan dia juga tidak kesah. Tidak menjadi kudis buatnya. Langsung tidak! Tetapi, kenapakah air mata dia asyik mahu menitis?

Pandangan dia dan Nek Leha bersabung. Lai senyum tawar. Nek Leha pegang tangan Lai. Erat.
“Paksa diri tu reda, Laila,” tegur Nek Leha.

Dia tahu Lai cakap sahaja di mulut tidak apa. Tetapi hati boleh nampak daripada pandangan mata.
“Paksa diri. Cakap dekat hati, banyak hikmah di hari depan. Cakap kepada diri sendiri macam tu,” tambah Nek Leha lagi.

Lai angguk. Birai mata yang hampir basah, kering semula. Ada hikmahnya. Dia hanya perlu mencari dan menanti. Bila dia masuk melalui pintu belakang, sekali lagi matanya bertembung dengan Zarul. Nampak halkum Zarul bergerak menelan liur.

Zarul terdengar bicara antara Lai dan Nek Leha. Dia tahu Lai derita dengan semua ini dan dia juga serupa. Apa nak jadi, dia perlu ambil kata dua. Liza atau derita?
Dan, dia pilih bahagia!

LETIHNYA. Macam aku pula kahwin. Qadr mengurut pangkal leher. Lenguh. Selepas Ziyad balik, dia pula macam tuan rumah. Melayan tetamu. Tetapi, puas hati. Kawan baik punya pasal. Dua sudah selamat. Ziyad dan Zarul. Dua-dua sudah jumpa matlamat hidup. Tinggal aku sekor.

Qadr bangkit menarik tuala di atas katil dan berlalu ke jendela yang terkuak lebar. Cantik juga rumah ni. Tak apalah ceruk sikit pun. Janji selesa dan udara pun segar. Dekat dengan sungai pula tu! Qadr benar-benar puas hati dengan homestay itu. Menepati cita rasanya.

Zarul baru balik lepas hantar dia ke sini. Lengkap segala-galanya, tetapi peti ais kosong. Perut pula sudah lapar. Apa nak makan? Terpaksalah dia keluar sekejap lagi. Hendak dikacau Zarul, macam tidak kena pula. Orang baru mahu memadu kasih. Tetapi…

Fikiran Qadr terbang ke masa lalu. Seingat dia, Zarul pernah kata kekasih hati menolak, tetapi kini sudah terimakah? Cepatnya! Yalah… Kalau sudah jodoh. Malas mahu semakkan fikiran. Dia perlukan rehat yang cukup, fizikal dan emosi sebelum kembali bertugas. Dan dia perlu sentiasa bersedia.

Qadr lompat ke bingkai jendela. Bertenggek tenang. Melihat pada pokok durian yang nampaknya sedang lebat berbuah. Rumput hijau dan bunyi unggas yang tidak berhenti. Rasa nyaman. Sesekali lari daripada kesibukan kota, tenang jiwa. Tetapi di sini bukan jiwa dia. Sesekali bolehlah. Tidak bising, tidak kecoh, tidak ada hidup baginya.

Angin petang sedikit kencang. Tubuh yang terdedah dibiarkan sahaja begitu. Terasa sejuk kulit. Rambut yang kemas tercacak diraup beberapa kali. Baru hendak turun dari bingkai jendela, mata Qadr ternampak susuk tubuh yang sedang menolak sebuah basikal di jalan denai sana. Berbaju kurung tetapi memakai topi. Yang pasti perempuan. Wajahnya tidak nampak. Boleh jadi basikalnya rosak. Tiba-tiba terbit rasa kasihan dalam hatinya.

Dia panjangkan leher memandang ke arah yang dituju. Adalah rumah lain. Boleh jadi orang kampung yang juga datang ke kenduri Zarul dan Liza. Setelah kelibat itu hilang daripada pandangan, Qadr terus berlalu ke bilik air. Tubuh yang lekit, perlu disegarkan.

MALAM terasa berbahang. Lai rasa tidak sedap hati. Zarul dan Liza sudah sampai usai isyak tadi. Petang tadi dia sempat singgah di rumah Nek Leha. Letih. Sudahlah kaki pun penat. Terpaksa menolak basikal yang pancit. Siapalah pedajalkan dia? Haih!

Hidangan sudah sedia di atas meja. Lai memanggil Liza, tetapi adiknya sudah terlena. Dia mencari kelibat Zarul dan nyata Zarul ada di hadapan. Sedang duduk di atas tangga. Perlahan-lahan Lai dekati.
“Jom kita makan!”

Zarul kalih. Dia ukir senyuman tawar dan penat.
“Liza mana?”

“Tadi jenguk di dalam bilik, dia tidur…”

Kepala Zarul terangguk-angguk. Dia gamit Lai.

“Duduk sini kejap. Nak sembang.” Alang-alang Liza lena, dia ada perkara yang hendak dibincangkan. Kisah mereka masih belum tamat. Masih tidak ada titik. Masih koma dan tergantung.

Lai pandang pintu bilik yang sedikit terbuka. Risau kalau Liza terlihat mereka dalam keadaan begini. Memang tidak buat apa, tetapi boleh mengundang curiga. Sudahlah dia nampak pandangan adiknya dah lain. Tidak seredup dan semesra dulu. Malah, terkilas bahang kemarahan yang cuba diselindungkan.

“Errr… Kita cakap sambil makanlah. Ajak Liza sekali.” Lai memang sudah serik. Cukuplah sekali terkena masa Zarul temankan dia ambil baju nikah Liza. Dia tidak mahu terkena lagi. Apatah lagi sekarang Zarul sudah sah menjadi adik iparnya.

“Hal ni kita aje, Lai. Liza akan tahu… Tapi bukan sekarang.” Kewarasan Zarul kian tercabar bila melihat Lai.

Berat hati dia mahu balik bermalam di sini, tetapi Liza mendesak. Dia tiada pilihan lain kecuali menurut. Dia takut kehendak dirinya menewaskan kewarasan. Ini pun dia sudah hampir kalah.

“Okeylah. Kejap aje.” Lai duduk di atas kerusi rotan.

Zarul bangkit dan duduk di sebelah. Dia kalih ke pintu seketika sebelum bersuara.
“Saya dengar awak cakap dengan Nek Leha…”

Lai diam, namun sebenarnya dia sudah mengagak.

“Awak kecewa, kan? Awak derita?” soal Zarul, tetapi Lai hanya diam tidak memberi reaksi.
“Saya pun, awak. Saya kecewa. Saya salah sebab tuduh dan desak awak. Saya silap mintak ayah pinangkan Liza sedangkan saya cinta awak. Awak tahu, kan?”

Lai angguk. Masih tidak menjawab. Suara Zarul cukup perlahan. Mungkin bimbang mengejutkan Liza.
“Kita kahwin…” Sekali lagi dia mengajak Lai.

Lai geleng.

“Tak boleh!” Tegas.

“Haram, tahu ke tidak?”

“Saya akan biarkan Liza dengan hidup dia sendiri.”
Mata sepet Lai merenung tajam.

“Sekali lagi awak cakap macam ni, saya akan hilang daripada pandangan kau orang berdua. Selamanya!” Ugutan dan dia yakin ugutan ini akan buat Zarul diam, tetapi Lai silap.

Memang Zarul yang dulu sama sekali berbeza dengan yang sekarang.

“Kita derita, awak. Kalau kita teruskan, Liza lagilah derita. Saya sayang awak. Tolonglah faham. Kita lari. Awak pergi kemas beg. Kita lari malam ni juga. Biarlah apa nak jadi kemudian hari. Tak kesah. Dia orang akan terima kenyataan lama-lama nanti. Tapi saya tak boleh kehilangan awak,” pinta Zarul merayu.

Lai bangun. Dia ukir senyuman tipis. Sudah cukup buat jiwa Zarul bergelora. Mencucuk sakitnya. Tidak mampu dia fikirkan kalau senyuman itu menjadi milik lelaki lain sedangkan pada mulanya senyuman itu terukir untuk dia sahaja.

“Awak ni letih… Sebab tu fikir bukan-bukan. Pergilah rehat dulu. Nanti kejut Liza makan. Saya nak masuk rehat.
Letih dah,” putus Lai tenang dan terus bangkit menuju ke bilik. Memang dia letih. Letih dengan kerenah Zarul.

Daun pintu ditutup rapat. Air matanya luruh. Rasanya, sudah sampai masa dia pergi jauh. Tempat ini sudah tidak sesuai lagi buatnya. Tiada yang menggembirakan dan mendamaikan lagi, melainkan sebuah kekecewaan yang tidak mampu dihadapi dan dilindungi. Sudah terlalu goyah. Rupa-rupanya, cintanya kepada Zarul masih subur. Dicantas pun makin bercambah. Dia kena cari racun yang kuat untuk membunuh kasih yang disemai dulu.

Zarul bangkit dalam kecewa. Dia masuk ke dalam bilik dan nampak isterinya yang sedang lena. Dipandang wajah Liza lama.

Salah abang, Liza. Abang tak cintakan Liza. Abang cintakan kakak Liza, hati Zarul menjerit, tetapi lidahnya terpasung terus pada lelangit. Tidak terluah angkara tegasnya seorang Lailatul sekarang ini. Lailatul yang amat lain. Jika Lai kata ya, dia pasti punyai semangat yang luar biasa.

Mata Liza terbuka. Senyuman terukir. Mata digosok berkali-kali.

“Sorry, Liza terlena…” Liza bangkit dan terus memeluk tubuh Zarul tetapi nyata, pelukannya berbalas namun ghairahnya tiada.

Hati mula terasa sebal. Suami yang baru dia nikahi mencintai kakak sendiri. Rasa dikhianati, rasa ditipu. Rasa mahu ditoreh wajah kedua-duanya. Dia tidak tidur. Dia hanya rehatkan tubuh. Dia dengar setiap patah kata Zarul. Dia dengar juga pengakuan kakaknya dan dia tahu kakaknya cintakan suami adik sendiri.

Melihatkan keghairahan Liza memeluknya, Zarul akhirnya membalas. Bayangan Lai menerpa. Dia pernah impikan untuk memeluk Lai. Membelai dan mencintai segala apa yang ada pada gadis itu, tetapi kini lain pula. Penolakan Lai membuatkan hatinya sakit. Sikap tidak sabar dia akhirnya memakan diri.

Dia ukir senyuman payah. Bahu Liza ditolak. Zarul sengih. Niat jahat muncul lagi. Dia usap pipi Liza lembut. Terus ditarik tangan Liza keluar dan saat melalui bilik Lai, sengaja dia bersuara kuat.

“Sayang, jom makan. Kak Lai dah masak untuk kita. Lepas makan bolehlah kita bercinta.” Zarul gelak.
Liza sekadar tersengih. Kerana dia yakin niat di sebalik kemesraan suaminya.

Lai ketap bibir di dalam bilik. Ditepuk dada kirinya berkali-kali. Di situ, terasa sakit yang tak terucap. Ngilu yang tak terkata. Tuhan… Hebatnya dugaan. Dia manusia biasa yang tahu sakit apabila terluka. Dia manusia yang sedang belajar apa itu erti reda. Dia manusia yang sesekali menafikan kenyataan untuk melindungi hati daripada disakiti. Dia manusia yang sedang menitiskan air mata.

Hingga akhirnya Lai terlelap begitu sahaja. Apabila tersedar, dirasakan rumah sepi. Dia terus keluar menuju ke dapur. Dapur sudah bersih dan kemas. Bibirnya senyum. Liza ringan tulang. Sejak dulu lagi. Jika Liza ada di rumah, balik dari kebun getah mesti rumah sudah bersih.

Lai ke bilik air untuk berwuduk. Meratap tidak menutup masalah, tetapi solatlah yang akan menenangkan jiwa biarpun dia sering kali berperang antara keinginan dan ketentuan. Baru hendak memanjat tangga untuk naik ke bilik, wajah adik iparnya muncul. Tersenyum bagai tiada apa yang terjadi. Dan, Lai tahu setiap ayat yang keluar pastilah akan menyakitkan hati.

AIR mata Liza merembes melihatkan kakak dan suaminya. Terlukanya hati. Rasa dikhianati. Sungguh. Sedangkan dia tidak tahu, Lai ialah mangsa yang telah dikhianati cintanya kerana rasa tidak sabar dan curiga seorang lelaki.

Dia sabar menanti Zarul lena. Dipandang mata Zarul yang sudah terkatup rapat. Padanlah tiba-tiba sahaja datang pinangan Haji Saad. Dia gembira tak terkata. Dan waktu itu Kak Lai juga bahagia. Namun, bahagia yang dibuat-buat. Kakak tidak bahagia sebenarnya.

Mata Zarul sering mencuri pandang kepada Lai. Pandangan Zarul kepada Lai berbeza dengan pandangan Zarul kepadanya. Pandangan seorang lelaki yang mencintai seorang perempuan dan pandangan kepada perempuan yang tidak dicintai, berbeza. Dia tidak bodoh hendak menilai.

Apabila dia yakin Zarul telah terlena, Liza menapak keluar menuju ke bilik kakaknya. Nyata, Lai masih belum lena. Tersenyum menerima kehadiran adik tersayang. Lai menggamit Liza menghampiri. Ditarik tangan Liza, mesra.
“Kenapa? Tak boleh tidur?” tanya Lai.

Liza angguk. Wajahnya masam mencuka. Lama suasana antara mereka ditelan sepi dengan cahaya lampu yang samar-samar. Buku bank dan juga pakaian yang terlipat kemas.

Liza nampak baki wang simpanan kakaknya yang tidak seberapa. Memikirkan pengorbanan Lai, dia rasa bersalah… Tetapi hati dia sakit amat dengan rahsia kakak dan Zarul. Zarul suami dia sekarang. Ini rumah tangga dia. Dia perlu pertahankan biarpun akan ada antara mereka yang menjadi korban dan dia tidak sudi mengorbankan dirinya.
“Kakak sayang Liza?” Duduk dilabuhkan di sisi Lai.

“Eh, dah tentulah.” Lai senyum manis.

“Kalau begitu, buktikan…”

“Kakak tak faham.” Dahi Lai berkerut.

Apa lagi yang hendak dibuktikan? Segalanya. Masa depan, pelajaran, duit, kudrat, malah lelaki yang dicintai, semua untuk Liza.

“Kakak sorok rahsia yang kakak ada hubungan dengan Abang Zarul.” Liza telus. Bukan dia kalau mahu berdolak-dalih.
Mata Lai bulat. Dia terkejut besar. Nafasnya sesak tiba-tiba. Mesti Liza dengar perbualan dia dan Zarul. Tuhan!
“Liza, jangan salah faham…”

“Tak, kak…” Liza mencantas.

“Liza tak salah faham… Tapi benda berlaku di depan mata. Sampaikan Abang Zarul sanggup nak lepaskan Liza yang baru sehari jadi isteri dia dan lepas tu ajak kakak lari.” Air mata Liza menuruni pipi.

Lai kaget. Sah, Liza dengar. Tangan Liza cuba dicapai tetapi Liza menepis kasar. Lai terkesima. Dan, dia perlu akui salah dia.

“Kakak mintak maaf, Liza. Tapi benda tak macam yang Liza fikir. Kakak dengan dia dah lama putus. Kami dah tak ada apa-apa. Dia suami Liza. Liza jangan macam ni. Kakak sedih Liza macam ni.” Ya, hati dia sedang menangis. Suara hati sedang menyalahkan diri sendiri.

“Dan kakaklah penyebab Liza sedih!” bentak Liza tajam. Air mata makin berjuraian.

Lai terkedu. Bibirnya bergetar hebat. Beratnya tuduhan yang Liza berikan. Dia penyebabnya? Lai tunduk. Kalah, menyerah. Matanya basah. Tidak mampu mempertahankan diri lagi apabila Liza sudah tahu segalanya.

“Liza nak kakak pergi dari sini, kak. Tinggalkan Liza bahagia dengan Abang Zarul. Liza tak perlukan kakak lagi.”
Makin terhenyak Lai dibuatnya. Adik yang disayangi separuh mati berkata begini kerana seorang suami. Tidak mengapa… Lai pujuk diri. Tugas Liza untuk taat kepada suami. Kalau kata dia sudah tidak diperlukan, dia juga lega.
Tanpa berkata panjang, Lai angkat wajah. Pandangannya kabur merenung Liza. Air matanya gugur apabila dia membuka mulut.

“Kakak boleh pergi…” Dia jeling pada buku bank dan pakaiannya. Bagai sudah tahu apa yang bakal terjadi.
“Dan terima kasih sebab dah tak perlukan kakak lagi, Liza. Setidak-tidaknya, kakak dah tunaikan janji kepada arwah ayah nak jaga Liza. Liza dah ada penjaga. Dah sampai masa kakak fikirkan hidup sendiri pula.”

Lai bangkit. Beg galas dicapai. Tidak mengapalah. Dia akan cari rezeki di tempat lain. Sebelum itu, dia akan ke rumah Nek Leha untuk berbual dengan wanita itu seketika kerana dia tahu, telinga Nek Leha masih sudi menerima luahan hatinya.

Liza bangkit. Direnung kakaknya tanpa perasaan. Dia menyayangi Zarul dan dia tidak mahu perpisahan terjadi antara mereka hanya kerana kakaknya sendiri. Apabila Lai menerima cadangannya, Liza bagai mampu hela nafas lega.
“Tapi, esok pagi, ya?” pinta Lai apabila Liza hendak melangkah keluar.

“Dah tengah malam ni. Esok pagi-pagi kakak keluar sebelum kau orang jaga.” Lai senyum dengan air mata yang mengalir lesu. Lai cuba cari maksud di sebalik kata-kata Liza. Adik yang disayangi sudah mampu menjaga diri sendiri biarpun ayat yang dituturkan mengoyak rakus hati seorang kakak.

Pengorbanannya dirasakan berbalas. Liza tidak berkata apa. Berpaling pun tidak. Hanya melangkah keluar dan terus masuk ke dalam bilik. Merebahkan tubuh di sisi Zarul dan memeluk tubuh lelaki itu erat.

Sebaik sahaja Liza hilang dan daun pintu tertutup rapat, Lai jatuh terduduk di sisi almari usang. Dia tarik kaki dan merapatkan lutut ke dada. Dipeluk lututnya erat. Mengalirlah air mata tanpa sebarang tangisan. Tangisan bisu yang akhirnya berakhir dengan esakan.

Lai tumbuk dadanya sekuat hati.

Tuhan… Sakitnya! Dan, dia terlena dalam tangisan setelah sekian lama air matanya tidak menitis…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *